Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/499961
Title: Sebatian amonium kuaterner sebagai perencat kakisan dan biosid bagi keluli karbon api 5L
Authors: Mohd Nazri Idris (P63242)
Supervisor: Norinsan Kamil Othman, Prof. Madya Dr.
Keywords: Kakisan
Biosid
Corrosion and anti-corrosives
Issue Date: 6-Feb-2016
Description: Ancaman kakisan pada permukaan paip keluli karbon akibat kehadiran pelbagai mikrob khususnya bakteria penurun sulfat (SRB) telah mengundang pelbagai masalah dalam industri petroleum dan gas. Objektif penyelidikan ini adalah untuk menentukan keberkesanan sebatian amonium kuaterner (SAK) sebagai biosid dan perencat kakisan bagi melindungi keluli karbon API 5L daripada serangan kakisan akibat aktiviti SRB daripada minyak mentah tropika. Berdasarkan kewujudan ion klorida dan asid organik di dalam minyak mentah, larutan 1 M HCl dan 1 M CH3COOH telah digunakan bagi menentukan keberkesanan dan kecekapan perencatan (IE%) SAK. Untuk itu, ujian pengutuban elektrokimia dinamik (PED), spektroskopi impedans elektrokimia (EIS) dan kehilangan berat telah dilaksanakan. Model isoterma penjerapan Langmuir, Temkin, Freundlich, Frumkin dan Dubinin-Radushkevich digunakan bagi menentukan mekanisma penjerapan serta termodinamik tindak-balas. Morfologi dan kimia permukaan keluli karbon dianalisis menggunakan mikroskop elektron imbasan (SEM) dan spektroskopi fotoelektron sinar-X (XPS). Pemencilan serta perkembangan SRB dikaji melalui kaedah penentuan sel hidup dan keberkesanan biosid oleh SAK dilaksanakan berdasarkan kaedah PED dan kehilangan berat di dalam medium VMNI. Keputusan PED bagi 1.0M HCl mendapati, sebatian benzalkonium klorida (BKC) berupaya mencapai nilai maksimum IE% terbaik 90% diikuti benzil trietilamonium klorida (BK), tetrametilamonium bromida (TMB), benzil dimetil(2-hidroksietil) amonium klorida (BDC) dan karboksimetil trimetilamonium (BTN) iaitu masing-masing 88%, 87%, 85% dan 81%. Bagi penggunaan 1 M CH3COOH, nilai maksimum IE% yang diperolehi adalah masing-masing 92%, 85%, 87%, 88%, dan 87% bagi BKC, BK, TMB, BDC dan BTN. BKC juga menunjukkan keberkesanan perencatan kakisan yang terbaik dengan nilai kepekatan optimum 5.0 mM untuk suhu 25, 40 dan 55°C. Keputusan ini menunjukkan keupayaan penjerapan BKC meningkat dengan peningkatan kepekatan sehingga tahap peliputan maksimum dicapai iaitu pada kepekatan 5.0 mM. Turut diperhatikan bahawa pada suhu 70 °C, sebatian BKC sahaja yang berupaya mencapai nilai IE% sehingga 85% dan 75% masing-masing bagi medium 1.0M HCl dan 1.0M CH3COOH. Peningkatan suhu kepada 70°C telah menyebabkan berlakunya keadaan penyahjerapan SAK dari tapak aktif pada keluli karbon. Keberkesanan BKC berbanding SAK yang lain turut disahkan oleh keputusan EIS dan kehilangan berat. Mekanisma penjerapan bagi semua SAK didapati lebih menjurus kepada isoterma penjerapan Langmuir. Analisis termodinamik sebatian TMB dan BTN menunjukkan penjerapan berlaku secara fizikal manakala penjerapan sebatian BKC, BK dan BDC berlaku melalui kedua-dua penjerapan fizikal dan kimia. Struktur kimia dengan rantaian alifatik yang lebih panjang pada sebatian BKC dan kehadiran kumpulan benzil didapati lebih memberi kesan kepada perencatan kakisan pada permukaan keluli karbon berbanding rantaian etil dan metil pada lain-lain SAK. Keputusan juga menunjukkan perkembangan SRB adalah maksimum pada tempoh rendaman 7 hari tetapi dengan kehadiran SAK yang bertindak sebagai biosid telah menurunkan kakisan dengan sangat besar iaitu 0.10, 0.13, 0.13, 0.17 dan 0.56 mm/yr masing-masing bagi BK, TMB, BDC, BKC dan BTN, berbanding 8.91 mm/yr pada larutan kawalan SRB tanpa biosid. Kesimpulannya, BKC, BK, BDC dan TMB didapati lebih berkesan bertindak sebagai perencat kakisan dan biosid bagi mengawal aktiviti SRB pada permukaan keluli karbon berbanding BTN.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 187
Call Number: TA418.74.M846 2016 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_96643+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
301.68 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.