Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/499728
Title: Sintesis elektrokimia pelepasan terkawal dan aktiviti antitumor kompleks kuprum(ii)-karboksilat dengan asid lemak terpilih
Authors: Norazzizi Nordin (P67821)
Supervisor: Mohamed Rozali Othman, Prof. Dr.
Keywords: Elektrokimia
Asid lemak
Antitumor
Electrochemistry
Issue Date: 4-Apr-2016
Description: Kompleks Cu(II)-karboksilat dengan asid lemak terpilih (Cu(II)AL) telah disintesis menggunakan teknik elektrokimia pelepasan terkawal (EPT). Sintesis dilakukan menggunakan sistem dua elektrod iaitu elektrod kepingan Cu (anod) dan elektrod rod grafit (katod) dalam kehadiran larutan ammonium asetat (CH3COONH4) sebagai elektrolit penyokong. Sebanyak enam jenis kompleks telah berjaya disintesis dengan ligan yang mempunyai bilangan atom karbon berbeza (10 hingga 18). Pengoptimuman parameter operasi sintesis Cu(II)AL (jenis elektrolit penyokong, masa elektrolisis, keupayaan dan kepekatan elektrolit penyokong) dilakukan dengan berpandukan kepada peratus hasil, kakisan anod Cu dan tenaga yang digunakan. Pembolehubah yang paling optimum bagi sintesis EPT Cu(II)AL adalah dengan menggunakan keupayaan 10 V dalam kehadiran 0.1 M CH3COONH4 dan masa elektrolisis selama 4 jam. Pencirian yang dilakukan terhadap kompleks Cu(II)AL menggunakan beberapa instrumen kimia mengesahkan bahawa hasil sintesis EPT adalah kompleks yang diingini. Selain itu, pencirian menggunakan FTIR, UV-Vis, XPS dan PXRD juga telah membuktikan berlakunya pengkoordinatan antara ion Cu2+ dan asid lemak. Saiz nanozarah Cu kompleks Cu(II)La dan Cu(II)St yang disintesis menggunakan keupayaan berbeza (1, 5 dan 10 V) dan kepekatan CH3COONH4 berbeza (0.1, 1.0 dan 2.0 M) telah ditentukan berpandukan kepada mikrograf TEM. Hasil kajian menunjukkan peningkatan keupayaan dan kepekatan CH3COONH4 dalam sintesis kedua-dua kompleks meningkatkan saiz nanozarah Cu yang terhasil. Perbandingan saiz nanozarah Cu juga dibuat antara sintesis EPT dengan sintesis konvensional. Sintesis EPT dengan keupayaan dan kepekatan CH3COONH4 yang rendah (1 V, 0.1 M CH3COONH4) menghasilkan nanozarah Cu dengan saiz lebih kecil (2 ± 1 nm) berbanding sintesis konvensional (4 ± 2 nm). Nanozarah Cu yang disintesis menggunakan teknik EPT dalam kajian ini adalah antara yang terkecil pernah diperolehi berbanding saiz nanozarah Cu yang telah dilaporkan daripada kajian terdahulu menggunakan teknik yang berbeza. Kajian sitotoksik in vitro kompleks Cu(II)AL (sintesis EPT (1 V, 0.1 M CH3COONH4)) telah dilakukan ke atas sel tumor (A549 dan HeLa). Ketoksikan kompleks Cu(II)AL meningkatkan secara songsang dengan penurunan panjang rantai karbon dalam ligan asid lemak. Kompleks Cu(II)Ka (C10:0) adalah paling toksik (IC50 = 15.85 μM (A549) dan 20.89 μM (HeLa)) manakala kompleks Cu(II)Ol (C18:1) adalah paling kurang toksik (IC50 = 41.69 μM (A549) dan 45.92 μM (HeLa)) terhadap sel yang dikaji. Aktiviti antiproliferasi kompleks Cu(II)AL ke atas sel tumor dan sel normal (IMR90) telah dikaji dengan merawat sel-sel tersebut dengan kompleks Cu(II)AL dengan kepekatan IC50. Peratus sel tumor yang masih hidup adalah lebih rendah daripada 25% selepas 168 jam rawatan. Bagi sel IMR90 pula, peratus sel hidup adalah melebihi 60%. Ini menunjukkan kompleks Cu(II)AL dengan kepekatan IC50 adalah toksik terhadap sel tumor dan kurang toksik terhadap sel normal yang dikaji. Pengaruh saiz zarah Cu terhadap kesan sitotoksik kompleks Cu(II)AL turut diuji dalam kajian ini. Sampel Cu(II)La(2 ± 1 nm) dan Cu(II)St(2 ± 1 nm) yang merupakan sampel dengan saiz nanozarah Cu paling kecil menunjukkan kesan sitotoksik yang terbaik terhadap sel tumor berbanding sampel lain dengan saiz nanozarah Cu yang lebih besar. Kajian apoptosis ke atas sel A549 dan HeLa yang dijalankan menggunakan kompleks Cu(II)Ka mengesahkan mod kematian sel tumor adalah melalui apoptosis.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 195
Call Number: QD555.8.N637 2016 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_82166+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
836.23 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.