Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/499685
Title: Kajian sistematik famili Acanthaceae di Semenanjung Malaysia
Authors: Che Nurul Aini Che Amri (P64718)
Supervisor: Noraini Talip, Prof. Madya Dr.
Keywords: Acanthaceae
Anatomi
Mikromorfologi daun
Morfologi polen
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 16-May-2016
Description: Kajian sistematik telah dijalankan ke atas 41 takson bagi 19 genus (Acanthus, Andrographis, Asystasia, Barleria, Blechum, Chroesthes, Filetia, Hemigraphis, Hygrophila, Justicia, Peristrophe, Pseuderanthemum, Rhinacanthus, Ruellia, Sanchezia, Staurogyne, Strobilanthes, Thunbergia, Avicennia) daripada famili Acanthaceae di Semenanjung Malaysia. Objektif kajian dijalankan ialah untuk mengenalpasti dan menyenaraikan ciri morfologi, ciri anatomi dan mikromorfologi daun dan ciri morfologi polen yang boleh digunakan untuk pembezaan, pengecaman dan pengelasan spesies dan genus bagi famili Acanthaceae. Kajian ini juga dijalankan untuk melihat kedudukan genus Avicennia yang telah dimasukkan ke dalam famili Acanthaceae. Kekunci dikotomi pengecaman spesies dan genus dibina berdasarkan ciri morfologi, anatomi dan mikromorfologi daun, serta ciri morfologi polen yang diperolehi daripada kajian. Hasil kajian akan digunakan untuk menyokong atau menolak kemasukan genus Avicennia dalam famili Acanthaceae. Kajian morfologi memfokuskan kepada pencirian ciri morfologi daun dan bunga bagi setiap takson kajian melalui kajian perbandingan dengan spesimen baucer herbarium dan juga berdasarkan rujukan kekunci pengecaman spesies dan genus. Kajian ciri anatomi melibatkan kaedah siatan epidermis (ciri anatomi epidermis daun), kaedah penjernihan (ciri anatomi peruratan) dan kaedah hirisan mikrotom gelongsor (ciri anatomi petiol, lamina, tulang dan tepi daun). Kajian ciri mikromorfologi menggunakan kaedah cerapan pada permukaan epidermis abaksial dan adaksial daun di bawah mikroskop imbasan elektron. Kajian ciri morfologi polen pula melibatkan dua kaedah iaitu cerapan di bawah mikroskop cahaya dan mikroskop imbasan elektron. Hasil kajian menunjukkan ciri morfologi famili Acanthaceae boleh dikategorikan sebagai tumbuhan herba, syrub atau pokok kecil dengan ketinggian boleh mencapai 2m tinggi. Thunbergia laurifolia merupakan salah satu spesies liana. Ciri morfologi terutamanya pada daun dan bunga juga menunjukkan terdapat ciri variasi dan sepunya yang berguna untuk pembezaan, pengecaman dan pengelasan takson kajian. Hasil kajian ciri anatomi dan mikromorfologi daun serta morfologi polen juga menunjukkan terdapat ciri sepunya, variasi dan diagnostik yang boleh digunakan untuk pembezaan dan pengecaman takson Acanthaceae yang dikaji. Kehadiran sel parenkima mengelilingi berkas vaskular lamina, kehadiran sel musilaj dan kehadiran sel kolenkima pada petiol dan tulang daun merupakan ciri sepunya bagi semua takson kajian. Corak susunan tisu vaskular serta bentuk luaran petiol dan tulang daun menunjukkan variasi tertinggi antara takson kajian. 29 bentuk luaran petiol dan 14 corak tisu vaskular petiol telah dikenalpasti. Bagi tulang daun pula, 17 bentuk luaran dan 14 corak tisu vaskular telah direkodkan. Selain itu, 17 bentuk luaran tepi daun hadir pada spesies kajian. Kehadiran floem intraxilari yang hadir pada berkas vaskular tulang daun merupakan ciri diagnostik bagi genus Avicennia. Sel sistolit hadir pada semua genus kajian kecuali Acanthus, Staurogyne, Thunbergia dan Avicennia. Empat jenis sel sistolit direkodkan hadir pada takson kajian iaitu sel sistolit tunggal dan bulat, sel sistolit memanjang dan hujung tumpul, sel sistolit memanjang dan hujung tajam sebelah serta sel sistolit memanjang dan hujung tajam di kedua-dua bahagian. Rongga udara atau sel arenkima pada sel mesofil span hadir pada semua takson kajian kecuali pada genus Avicennia. Lapisan hipodermis hanya hadir pada lamina genus Acanthus dan Avicennia. Sel brakisklereid pula ditemui hanya hadir pada lamina Avicennia lanata, A. marina dan A. officinalis dan petiol Pseuderanthemum carruthersii. Manakala sel asterosklereid hadir pada lamina Staurogyne argentea sahaja. Tiga jenis hablur iaitu drus, tunggal dan rafid dikenalpasti hadir sama ada pada petiol, lamina atau tulang daun. Dua jenis stomata telah dicerap iaitu diasitik dan parasitik yang mana stomata parasitik hanya direkodkan pada genus Hemigraphis dan Avicennia. Lapan jenis lilin telah dikenalpasti iaitu granul, krustos, berkerak, lembaran lilin, lapisan filem lilin, verukat, beremping dan bak banir. 24 jenis trikom telah dicerap hadir pada spesies kajian. Kehadiran trikom kelenjar kapitat (terminal rata) merupakan ciri diagnostik yang hadir pada genus Avicennia. Beberapa ciri diagnostik hadir dalam famili Acanthaceae iaitu bentuk luaran petiol dan tulang daun, corak tisu vaskular petiol dan tulang daun, bentuk luaran tepi daun, jenis lilin dan juga sel sklereid. Lilin bak banir direkodkan hanya pada Asystasia gangetica subsp. micrantha manakala sel asterosklereid hadir pada lamina Staurogyne argentea sahaja. Variasi ciri morfologi polen dicerap pada kelas, saiz dan bentuk polen, jenis apertur, ketebalan dan hiasan eksin. Lapan kelas polen hadir pada takson kajian iaitu trikolpat, trikolporat, triporat, sinkolporat, stefanoaperturat, planaaperturat, diporat dan spiraaperturat. Dua saiz polen dan telah dikenalpasti iaitu besar (50-100μm) dan sederhana (25-50μm). Lima bentuk polen hadir dalam famili kajian iaitu prolat, oblat-sferoid, prolat-sferoid, subprolat dan perprolat. Selain itu, lima ciri ambitus boleh digunakan untuk membezakan spesies kajian iaitu segi tiga cembung, segi tiga, bulat, oblong horizontal dan oblong vertikal. Tiga belas jenis hiasan eksin direkodkan pada takson yang dikaji. Taburan ekologi juga menunjukkan variasi bagi habitat dalam famili Acanthaceae. Antaranya ialah hutan paya bakau, hutan dipterokarpa tanah rendah, semak samun dan tepi jalan. Hasil analisis fenetik numerikal ke atas ciri morfologi, ciri anatomi dan mikromorfologi daun serta ciri morfologi polen menunjukkan pengasingan genus Avicennia daripada famili Acanthaceae. Kesimpulannya ciri morfologi, anatomi, mikromorfologi daun dan morfologi polen mempunyai nilai taksonomi bagi famili Acanthaceae.,Ph.D.
Pages: 909
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_81389+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
107.49 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.