Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/499388
Title: Kajian nasib racun serangga siflutrin dan imidakloprid dalam ekosistem tanaman tomato
Authors: Choo Lee Yin (P37444)
Supervisor: Ismail Sahid, Prof Dr.
Keywords: Silfutrin
Imidakloprid
Ekosistem
Tomato
Pesticides -- Environmental aspects
Issue Date: 31-Oct-2013
Description: Kajian ini bertujuan untuk membangunkan kaedah yang mudah dan sesuai untuk mengekstrak dan menganalisis residu siflutrin dan imidakloprid dalam sampel air, tanah, habuk sabut kelapa (coco-peat) dan buah tomato serta mengkaji lakuan siflutrin dan imidakloprid dalam ekosistem penanaman buah tomato. Kaedah yang dibangunkan mempunyai peratus perolehan semula yang tinggi dengan kebolehulangan yang baik, sisihan piawai relatif dan had pengesanan yang rendah. Kajian penjerapan, penyahjerapan, mobiliti dan kekekalan siflutrin dan imidakloprid dalam tanah dan habuk sabut kelapa (CP) telah dilakukan di makmal. Jenis tanah yang digunakan dalam kajian ini adalah tanah liat, loam berliat dan loam liat berpasir yang masing-masing diambil dari kawasan penanaman tomato di kawasan Tringkap, Kampung Raja dan Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang manakala CP diambil dari kawasan penanaman tomato di Kampung Raja. Kajian penjerapan mendapati nilai koefisien taburan (Kd) untuk CP, tanah liat, loam berliat dan loam liat berpasir adalah lebih tinggi pada siflutrin (8.99 hingga 466.15 L/kg) berbanding dengan imidakloprid (2.73 hingga 17.46 L/kg). Penjerapan siflutrin dan imidakloprid pada CP adalah lebih tinggi berbanding dengan ketiga-tiga jenis tanah. Antara tanah yang diuji, tanah liat sebagai penjerap yang paling baik dengan nilai pekali jerapan (Koc) siflutrin dan imidakloprid masing-masing 5799.39 L/kg dan 645.88 L/kg. Penjerapan siflutrin dan imidakloprid dipengaruhi oleh kepekatan pestisid, pH, suhu, kandungan bahan organik dan baja nitrogen, fosforus dan potasium (NPK). Jumlah peratus nyahjerapan bagi siflutrin (3.2 hingga 8.2%) adalah lebih rendah berbanding imidakloprid (8.0 hingga 28.9%) untuk CP dan ketiga-tiga jenis tanah. Kajian turus tanah menunjukkan mobiliti imidakloprid adalah lebih tinggi berbanding siflutrin dan dipengaruhi oleh jumlah hujan. Siflutrin tidak dapat dikesan dalam air larut lesap. Mobiliti dalam tanah loam liat berpasir adalah lebih tinggi berbanding dengan CP, tanah liat dan loam berliat. Hasil kajian kekekalan menunjukkan tempoh separuh hayat siflutrin (17.6-21.6%) dan imidakloprid (15.1-31.7%) di dalam ketiga-tiga jenis tanah dan CP menurun apabila suhu meningkat daripada 25°C hingga 35°C. Hasil kajian kekekalan juga menunjukkan tempoh separuh hayat siflutrin dan imidakloprid dalam ketiga-tiga jenis tanah dan CP masing-masing menurun sebanyak 7.78 hingga 12.97% dan 10.01 hingga 34.17% apabila kelembapan meningkat daripada 30 hingga 80%. Kajian lakuan siflutrin dan imidakloprid dalam ekosistem pertanian tomato telah dilakukan di rumah hijau MARDI Serdang, Selangor dan rumah pelindung hujan di Tringkap dan Kampung Raja. Kajian ini menunjukkan siflutrin dan imidakloprid hanya dapat dikesan dalam permukaan tanah (kedalaman 0-5 cm) manakala residu siflutrin dan imidakloprid dapat dikesan dalam habuk sabut kelapa sehingga kedalaman 15 cm. Residu siflutrin dan imidakloprid dalam tomato di Serdang, Kampung Raja dan Tringkap tidak dapat dikesan pada hari ke 10 untuk dos yang dicadangkan dan dua kali ganda dos yang dicadangkan. Residu siflutrin dalam tomato bagi dos yang dicadangkan di Serdang, Kampung Raja dan Tringkap masing-masing berada dalam julat 0.08-0.51, 0.02-0.27 dan 0.02-0.31 μg/g manakala residu imidakloprid dalam tomato di Serdang, Kampung Raja dan Tringkap masing-masing berada dalam julat 0.06-0.71, 0.07-0.50 dan 0.08-0.54 μg/g. Residu pestisid dalam sampel tomato yang telah dicuci adalah lebih rendah berbanding dengan sampel tomato tanpa cuci. Kesimpulannya, siflutrin dan imidakloprid adalah tidak persisten dalam keadaan rumah hijau dan rumah pelindung hujan.,Ph.D
Pages: 292
Call Number: QH545.P4.C565 2013
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_71462+Source01+Source010.PDF
  Restricted Access
3.89 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.