Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/485761
Title: Kecekapan teknikal dan produktiviti subsektor perkhidmatan industri pelancongan Malaysia
Authors: Md Shafiin Shukor (P80550)
Supervisor: Norlida Hanim Mohd Salleh, Prof. Madya Dr.
Keywords: Industri pelancongan
Pelancongan -- Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 30-Jan-2021
Description: Peningkatan ketibaan pelancong, pendapatan daripada perbelanjaan pelancongan dan peluang pekerjaan yang terhasil dapat dijadikan sebagai proksi yang menunjukkan berlakunya perkembangan pelancongan dalam industri pelancongan Malaysia. Namun, perkembangan ini hanya menempatkan Malaysia di luar kelompok sepuluh (10) destinasi utama dunia dari segi ketibaan dan perbelanjaan pelancong asing berbanding Thailand pada tahun 2013 hingga 2019. Menurut United Nations World Tourism Organization (UNWTO), perubahan ketibaan dan perbelanjaan pelancong asing disebabkan oleh segmentasi pasaran, tempoh tinggal serta purata perbelanjaan per malam dan per perjalanan. Ketiga-tiga faktor ini sangat dipengaruhi oleh kadar tukaran. Kejatuhan nilai mata wang sebenarnya merupakan indikasi terbaik yang akan merangsang ketiga-tiga faktor tersebut untuk meningkatkan ketibaan pelancong, namun, keadaan ini tidak berlaku bagi Malaysia. Pada tahun 2013 hingga 2019 Malaysia telah mengalami kejatuhan nilai Ringgit Malaysia (RM) berbanding dolar Amerika (USD). Walau bagaimanapun, kejatuhan nilai mata wang ini tidak diiringi dengan peningkatan ketibaan pelancongan. Jelas dengan ini, ketibaan pelancong bukan sahaja dipengaruhi oleh kadar tukaran semata-mata, tetapi juga dipengaruhi oleh faktor-faktor lain. Oleh itu, Malaysia perlu menangani punca yang dinyatakan oleh UNWTO dengan mencari strategi yang berkesan untuk meningkatkan daya saing industri pelancongan Malaysia. Salah satu cara adalah dengan memberi penekanan kepada bahagian penawaran perkhidmatan pelancongan khususnya subsektor penginapan dan agensi pelancongan agar lebih berdaya saing. Namun, apakah kemampuan kedua-dua sektor ini dalam menjalankan tanggungjawab untuk meningkatkan daya saing industri pelancongan Malaysia masih perlu dikaji? Oleh itu, kajian ini memberi penumpuan kepada aspek daya saing dengan menilai kecekapan subsektor pelancongan (penginapan dan agensi pelancongan) sama ada penggunaan input-output berada dalam keadaan cekap atau kurang cekap. Kecekapan penggunaan input-ouput akan meningkatkan persaingan dan meningkatkan lebihan ekonomi. Di samping itu, dalam usaha untuk meningkatkan operasi subsektor penginapan dan agensi pelancongan adalah penting untuk mengetahui sama ada produktiviti subsektor penginapan dan agensi pelancongan mengalami penurunan atau peningkatan. Untuk itu, pengukuran kecekapan dan produktiviti adalah untuk mengetahui gambaran keadaan subsektor penginapan dan agensi pelancongan. Malah, ia juga menggambarkan kebolehan menarik pelanggan (output) berbanding input yang digunakan. Maka, kajian ini menjalankan analisis pengukuran kecekapan secara umum subsektor penginapan dan agensi pelancongan iaitu menggabungkan semua data dalam satu fungsi pengeluaran dan mengkategorikan subsektor penginapan dan agensi pelancongan kepada empat (4) kumpulan iaitu kumpulan mikro, kumpulan kecil, kumpulan sederhana dan kumpulan besar secara khusus. Kemudian, keempat-empat kumpulan diuji sama ada menggunakan teknologi yang sama atau berbeza. Keputusan ujian mendapati bahawa semua kumpulan firma menggunakan asas teknologi yang berbeza atau terdapat perbezaan teknologi antara kumpulan dan ia dibuktikan dengan ujian nisbah kebolehjadian umum (Generalized Likelihood-Ratio). Justeru itu, pengukuran kecekapan dengan menggunakan kaedah analisis perbatasan meta stokastik (SMFA) untuk menentukan nisbah jurang teknologi (TGR) adalah kaedah yang sesuai digunakan untuk menganalisis perbatasan setiap kumpulan fungsi pengeluaran. Keputusan kajian mendapati bahawa subsektor penginapan mendapati nilai kecekapan teknikal (TE) paling tinggi adalah kumpulan kecil. Nilai TGR menunjukkan kumpulan sederhana yang paling tinggi dan kecekapan meta teknikal (MTE) paling tinggi adalah kumpulan kecil. Keputusan subsektor agensi pelancongan pula mendapati TE paling tinggi adalah kumpulan sederhana. Namun, kumpulan kecil menunjukkan nilai TGR yang paling tinggi dan MTE paling tinggi adalah kumpulan sederhana. Akhir sekali adalah keputusan perubahan pertumbuhan faktor produktiviti menyeluruh (TFPC) menunjukkan hanya kumpulan sederhana dan kumpulan besar bergerak ke arah positif bagi subsektor penginapan. Manakala keputusan TFPC purata hanya kumpulan mikro, kumpulan besar dan umum menunjukkan perkembangan yang positif bagi subsektor agensi pelancongan. Namun, kumpulan kecil menunjukkan TFPC bergerak ke arah positif hanya pada tahun 2015. Keputusan kajian ini menunjukkan terdapat perbezaan tahap TE, TGR dan MTE mengikut kumpulan saiz firma dalam subsektor penginapan dan agensi pelancongan. Malah, keputusan kajian ini juga dapat menunjukkan tahap produktiviti mengikut kumpulan subsektor penginapan dan agensi pelancongan juga berbeza. Oleh demikian itu, subsektor penginapan dan agensi pelancongan haruslah memperbaiki tahap kecekapan dan kelemahan yang ada dengan beberapa cadangan dan syor yang dikemukan untuk dimanfaatkan oleh pihak berkepentingan sama ada pihak kerajaan dan industri. Ini kerana, tindakan yang diambil oleh pihak berkepentingan dapat meningkatkan daya saing dan membuka lebih banyak peluang untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia. Seterusnya, kajian lanjutan yang boleh dilakukan adalah dengan membandingkan kecekapan antara wilayah memandangkan setiap wilayah mempunyai persekitaran yang berbeza untuk pengoperasian firma. Selain itu, dicadangkan kajian pada masa hadapan untuk mengenalpasti faktor-faktor penentu kepada nilai TGR memandangkan kajian ini hanya memperoleh nilai TGR untuk melihat jurang teknologi antara kumpulan firma.,Ph.D
Pages: 294
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Economy and Management / Fakulti Ekonomi dan Pengurusan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_122422+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
6.15 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.