Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/475753
Title: | Pencirian fiziko-kimia tanah baki formasi crocker dan formasi trusmadi kawasan Ranau-Tambunan, Sabah, Malaysia |
Authors: | Noran Nabilla Nor Azlan (P78136) |
Supervisor: | Norbert Simon, Dr. |
Keywords: | Landslide hazard analysis -- Malaysia Landslides -- Malaysia Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 24-Apr-2018 |
Description: | Kawasan kajian yang terletak di kawasan pergunungan pantai barat Sabah iaitu di sepanjang jalan raya Ranau-Tambunan (RTM) yang sering dikaitkan dengan kejadian tanah runtuh dan kegagalan cerun potongan. Secara geologi, kawasan kajian terdiri daripada cerun potongan batuan sedimen arenit daripada Formasi Crocker dan metasedimen argilit daripada Formasi Trusmadi yang telah terluluhawa, serta beberapa bahagian yang dilitupi endapan Aluvium Kuartener. Kajian mengenai pencirian sifat fizikal, sifat kimia, kajian struktur hablur dan morfologi mineral yang melibatkan tanah baki cerun stabil dan cerun gagal jarang ditekankan. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk membandingkan serta menentukan perkaitan yang signifikan antara sifat-sifat bahan tanah baki cerun gagal dan cerun stabil. Kajian ini melibatkan analisis makmal merangkumi sifat fizikal, sifat kimia, mineralogi dan analisis morfologi bahan cerun tanah dan analisis bukan makmal iaitu analisis inventori kegagalan cerun dan analisis statistik dengan menggunakan kaedah korelasi Pearson dan Mann-Whitney. Kajian mendapati terdapat 53 buah kegagalan cerun dikesan pada tahun 2015 yang kebanyakannya terdiri daripada kegagalan jenis gelinciran (T1), aliran (T3) dan rayapan (T4) dengan anggaran kawasan atau zon berketumpatan tinggi meliputi 21km2. Berdasarkan analisis inventori kegagalan cerun, sebanyak 59% kawasan yang dikaji termasuk dalam zon berketumpatan tinggi (zon merah) dan cerun gagal berisipadu sederhana (50-500m3) merupakan paling dominan. Hasil kajian mendapati kekerapan kegagalan cerun di kawasan kajian berlaku dipengaruhi oleh faktor luluhawa, kekurangan tumbuhan penutup pada permukaan cerun, pemotongan sudut cerun, faktor geologi dan aliran air permukaan yang menyebabkan hakisan. Analisis makmal ke atas 16 sampel cerun gagal dan 10 sampel cerun stabil menunjukkan bahan cerun yang gagal mempunyai ciri-ciri bahan bergred tidak baik dan dikelaskan lodak berpasir dengan keplastikan rendah (MLS). Formasi Trusmadi mempunyai peratusan kandungan organik tanah (BOT) rendah hingga sederhana iaitu 3.75%-7.23% adalah lebih stabil. pH tanah dikelaskan sebagai berasid tersangat tinggi hingga beralkali rendah. Analisis statistik menerusi kaedah Mann-Whitney menunjukkan kandungan saiz butiran halus, kelembapan tanah (Wo), had cecair (LL), had plastik (PL), indeks keplastikan (PI), bahan organik tanah (BOT) dan pH tanah menghasilkan mean rank yang lebih tinggi pada kumpulan cerun gagal berbanding kumpulan cerun stabil. Kandungan saiz butiran, had cecair (LL) dan indeks keplastikan (PI) mempamerkan hubungan yang signifikan (p<0.039, p<0.009 dan p<0.005) antara kumpulan cerun stabil dan cerun gagal. Hubungan antara BOT/Wo menunjukkan korelasi yang signifikan pada kumpulan cerun gagal. Hubungan antara unsur Si, Al, Ti, K dan Fe menunjukkan korelasi yang signifikan terhadap komposisi mineral. Kumpulan cerun gagal menunjukkan korelasi positif yang lebih banyak berbanding cerun stabil. Analisis XRD menunjukkan komposisi mineral lempung utama terdiri daripada kaolinit, ilit, montmorilonit, haloisit, dickit dan vermikulit. Komposisi mineral bukan lempung utama terdiri daripada kuarza dan muskovit. Analisis morfologi bagi sampel cerun gagal menunjukkan morfologi yang tidak sempurna, berbucu tajam dan lebih kasar berbanding sampel cerun stabil. Dalam kajian ini, komposisi, morfologi dan struktur hablur mineral terutamanya mineral lempung amat berkait rapat dengan kelakuan tanah. Justeru, pembinaan dan pengurusan kerja-kerja potongan cerun yang melibatkan profil tanah baki dan batuan yang terluluhawa perlu mengambil kira aspek sifat fiziko-kimia dan pencirian mineral supaya sebarang kegagalan ditangani sewajarnya.,Tesis ini tidak ada “Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah”,Sarjana Sains |
Pages: | 345 |
Call Number: | QE599.M4N637 2018 tesis |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
There are no files associated with this item.
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.