Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/465915
Title: Penilaian dan taburan pokok berisiko di Kampus UKM Bangi
Authors: Nurafiqah Muhamad Nazi (P95675)
Supervisor: Ahmad Fariz Mohamed, Prof. Madya Dr.
Keywords: Pokok -- Universiti Kebangsaan Malaysia
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 8-Nov-2021
Description: Pokok di hutan bandar sejak sekian lamanya memberi banyak manfaat kepada penghuni bandar dari segi ekologi, kualiti kehidupan dan ekonomi. Namun, pembangunan yang pesat dan amalan arborikultur yang tidak sesuai memberikan tekanan kepada pertumbuhan pokok bandar. Gangguan kepada persekitaran pokok mengakibatkan kecacatan dan kerosakan dirian pokok yang mendedahkan potensi untuk struktur pokok patah atau tumbang. Beberapa siri kejadian pokok tumbang di dalam kawasan kampus UKM Bangi baru-baru ini membimbangkan penghuninya akan keselamatan mereka di dalam kampus. Kekurangan pemantauan pokok berisiko di dalam kampus UKM Bangi secara sistematik perlu dikaji supaya menjadi sebahagian daripada pelan pengurusan pokok di dalam kampus bagi mewujudkan suasana kampus lestari yang selamat. Pentaksiran pokok berisiko di dalam konteks hutan bandar terutamanya pokok di tepi jalan merupakan penilaian risiko pokok dan kemungkinan untuk dirian pokok gagal serta tahap kerosakan pokok yang boleh mengakibatkan kemalangan kepada persekitaran. Kaedah inventori pokok dan 'Panduan Pengurusan Pokok Bahaya Di Hutan Lipur Dan Hutan Taman Negeri Semenanjung Malaysia' oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia digunakan dalam menjalankan kajian ini bagi menganalisa pokok yang dilihat sebagai berisiko.Kajian ini turut menggabungkan konsep risiko pokok berlandaskan Sistem Maklumat Geografi (GIS) sebagai teras untuk maklumat pokok di dalam kampus bagi melihat kepada perincian risiko setiap pokok di dalam kawasan kajian. Koordinat setiap pokok yang dinilai diperolehi menggunakan alat mudah alih Global Positioning System (GPS) bagi penandaan lokasi pokok dan digunakan dalam penghasilan peta pokok berisiko di dalam kampus. Lokasi pokok dalam peta ditandakan sebagai fitur titik (point feature) dan dikategorikan dengan warna berbeza mengikut tahap risiko iaitu warna hijau bagi tahap risiko rendah, kuning bagi tahap risiko sederhana, dan merah bagi tahap risiko tinggi. Sebanyak 1,018 pokok yang ditanam di tepi jalan di dalam Zon A, UKM Bangi telah diinventori dan dinilai. Hasil kajian mendapati sebanyak 886 dirian pokok atau 87.03% daripada keseluruhan pokok di dalam kawasan kajian berada pada tahap risiko sederhana dan pemetaan mendapati taburan pokok berisiko sederhana meliputi hampir keseluruhan kawasan di dalam Zon A. Sebahagian 103 dirian pokok atau 10.11% dikelaskan pada tahap risiko tinggi tertumpu di kawasan lereng bukit berhadapan bangunan Canselori, di Jalan Syed Nasir bersebelahan Kolej Dato’ Onn, di kawasan lapang berdekatan dengan Kolej Rahim Kajai, di kawasan pejalan kaki antara tempat letak kenderaan berhadapan Perpustakaan Tun Sri Lanang dan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, dan di Jalan Nik Ahmed Kamil berhadapan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan. Hanya 29 dirian pokok iaitu 2.84% dikategorikan sebagai risiko rendah yang kebanyakannya berada di kawasan antara DECTAR dan Kolej Tun Hussein Onn, di tempat letak kenderaan berhadapan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, di hadapan Bangunan Sains Nuklear, dan di Jalan Nik Ahmed Kamil di antara Kompleks Kedekanan dan Bangunan Sains Kimia, Fakulti Sains dan Teknologi. Kajian ini juga turut mencadangkan kerangka pengurusan 'Sistem Pangkalan Data GIS Dan Pengurusan Risiko Pokok Kampus UKM Bangi' bagi membantu dalam pengawasan pokok berisiko serta membuat keputusan bagi pengurusan pokok di UKM Bangi.,Sarjana
Pages: 125
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Institute for Environment and Development / Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI)

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_125760+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
4.22 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.