Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463793
Title: | Aktiviti antivirus ekstrak akuas Orthosiphon stamineus ke atas virus Herpes Simpleks Jenis 1 |
Authors: | Nur Suhana Mohamad Ripim (P84097 ) |
Supervisor: | Norefrina Shafinaz Md. Nor, Dr. |
Keywords: | Orthosiphon stamineus Pokok misai kucing Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 13-Jan-2019 |
Description: | Orthosiphon stamineus atau lebih dikenali sebagai Misai Kucing adalah tumbuhan ubatan yang tidak asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji aktiviti antivirus serta mengenalpasti mod tindakan oleh ekstrak akuas daun Orthosiphon stamineus (OSE) dalam merencat jangkitan virus Herpes Simpleks Jenis 1 (HSV-1). Ujian kesitotoksikan telah dijalankan menggunakan asai 3-(4, 5-dimethylthiazol-2-yl)-2, 5-diphenyl tetrazolium bromide (MTT) ke atas sel Vero. Berdasarkan penilaian asai MTT, kepekatan ekstrak yang membunuh 50% populasi sel (CC50) adalah 0.766 mg/mL. Di dalam ujian selanjutnya, kepekatan maksima yang digunakan adalah 0.39 mg/mL iaitu lebih rendah dari nilai CC50 OSE. Aktiviti anti-HSV-1 OSE telah disaring menggunakan kaedah asai pengurangan plak yang merangkumi tiga rawatan iaitu (1) rawatan pasca jangkitan (2) rawatan pra-jangkitan dan (3) pendedahan terus kepada virus (asai virusid). Hasil mendapati kepekatan OSE pada 0.39 mg/mL mampu mengurangkan pembentukan plak virus sehingga 84% dalam rawatan pra-jangkitan dan 100% dalam kedua-dua rawatan pasca jangkitan dan asai virusid. Cerapan ke atas hasil rawatan pasca jangkitan mendapati aktiviti OSE adalah setanding dengan asiklovir, iaitu kawalan positif ujian dan juga merupakan dadah utama yang digunakan bagi merawat jangkitan HSV-1. Untuk melihat morfologi sel secara ultrastruktur, pencerapan menggunakan mikroskop transmisi elektron (TEM) ke atas sel yang dirawat pasca jangkitan telah dijalankan. Hasil cerapan daripada TEM pada 16 jam pasca jangkitan menunjukkan OSE dapat merencat penghasilan progeni HSV-1 kerana tiada virion HSV-1 yang terhasil di dalam nukleus sel berbanding sampel kawalan dan tiada proses pasang binaan virus dicerap malah sel masih mengekalkan morfologi asal. Ini menunjukkan ekstrak telah bertindak pada peringkat awal jangkitan bagi merencat proses replikasi HSV-1. Seterusnya, ujian sela masa penambahan dan ujian sela masa penyingkiran telah dilakukan bagi mengkaji kesan rawatan OSE dalam merencat kitar replikasi HSV-1. Hasil ujian sela masa penambahan menunjukkan aktiviti OSE adalah tinggi apabila rawatan diberikan pada peringkat awal jangkitan iaitu selepas dua jam pasca jangkitan. Aktiviti OSE didapati menurun appabila rawatan diberikan lewat, iaitu pada jam ke 10 hingga jam ke 12 pasca jangkitan. Hasil ujian sela masa penyingkiran pula menunjukkan rawatan perlu dilakukan dengan masa minima 2 jam untuk OSE bertindak mengurangkan pembentukan plak sehingga 75%. Seterusnya, kajian lanjut terhadap mekanisme virusid OSE telah dijalankan menggunakan dua pendekatan rawatan. Pertama, virion HSV-1 telah didedahkan kepada OSE secara terus selama 60 minit kepada ekstrak pada kepekatan 0.39 mg/mL. Seterusnya, pencerapan ultrastruktur menggunakan TEM melalui kaedah pewarnaan negatif telah dijalankan. Cerapan hasil mendapati pendedahan OSE secara terus kepada partikel virus telah menyebabkan virus kehilangan sampul. Kaedah kedua melibatkan asai perlekatan dan asai penembusan untuk menguji kebolehan OSE menghalang proses perlekatan dan penembusan HSV-1 kepada sel. Hasil kedua-dua ujian ini mendapati OSE berupaya mengganggu proses perlekatan dan penembusan HSV-1 semasa menjangkiti sel. Pembentukan plak berjaya dihalang melebihi 70% di dalam kedua-dua asai selepas didedahkan kepada OSE. Justeru, hasil kajian ini membuktikan OSE mempunyai aktiviti antivirus yang tinggi melalui mekanisme virusid serta berkebolehan bertindak pada peringkat awal dalam merawat sel yang terjangkit oleh HSV-1.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Sarjana Sains |
Pages: | 84 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_112350+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 594.98 kB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.