Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463729
Title: Pencirian Kappaphycus alvarezii kering dan rehidrasi dari Semporna, Sabah dan Langkawi, Kedah
Authors: Norhidayu Mohamed (P76847)
Supervisor: Sahilah Abdul Mutalib, Prof. Madya Dr.
Keywords: Rumpai laut
Drying
Issue Date: 3-Sep-2018
Description: Proses pengeringan dilakukan terhadap rumpai laut bagi memudahkan proses pengendalian dan pengangkutan. Malah, rumpai laut kering direhidrasi terlebih dahulu sebelum digunakan bagi memulihkan semula struktur asal rumpai laut. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi membandingkan kesan proses (pengeringan dan rehidrasi) terhadap pencirian Kappaphycus alvarezii dari dua lokasi berbeza iaitu Semporna, Sabah dan Langkawi, Kedah. Pengenalpastian spesies rumpai laut dijalankan melalui kaedah molekular yang mendapati rumpai laut dari Sabah adalah K. alvarezii isolate GT dan rumpai laut dari Kedah adalah K. alvarezii isolate BN. Perbandingan dilakukan terhadap kesan proses kepada kandungan lembapan, aktiviti air, antioksidan, anti hiperglisemik, kandungan mineral dan logam berat K. alvarezii dari dua lokasi. Penentuan kandungan fenolik menggunakan kaedah Folin Ciocalteau. Aktiviti antioksidan ditentukan melalui asai pemerangkapan radikal 2, 2-difenil-1-pikrilhidrazil (DPPH), sistem keupayaan penurunan ion ferik dalam plasma (FRAP), keupayaan penurunan ion kuprik (CUPRAC), asai keupayaan antioksidan setara trolox (TEAC), dan keupayaan penyerapan radikal oksigen (ORAC). Manakala, aktiviti anti hiperglisemik ditentukan menggunakan kaedah perencatan aktiviti α-amilase dan α-glukosidase. Penentuan kandungan mineral dan logam berat melibatkan makroelemen (kalium, K; kalsium, Ca; magnesium, Mg dan natrium, Na), mikroelemen (aluminium, Al; berilium, Be; ferum, Fe; kobalt, Co; mangan, Mn, dan selenium, Se), logam berat (arsenik, As; kadmium, Cd; nikel, Ni; plumbum, Pb) dan mikroelemen dan logam berat (argentum, Ag; kromium, Cr; kuprum, Cu; dan zink, Zn). Keputusan mendapati faktor proses mempengaruhi kandungan kelembapan, aktiviti air, antioksidan dan nilai perencatan aktiviti α-amilase dan α-glukosidase dalam K. alvarezii bagi kedua-dua lokasi. Aktiviti antioksidan dalam K. alvarezii dari lokasi yang berbeza menunjukkan perbezaan signifikan (p<0.05) kecuali ujian TEAC. Hasil kajian mendapati K. alvarezii rehidrasi dari Sabah mempunyai nilai DPPH, FRAP, CUPRAC dan TEAC yang paling tinggi iaitu masing-masing pada bacaan 34.63 %, 22.51 µmol TE/ 100 g berat kering (DW) sampel, 0.26 µmol TE/ 100 g DW sampel, dan 138.38 µmol TE/ 100 g DW sampel. K. alvarezii rehidrasi dari Kedah pula menunjukkan nilai TPC (124.61 mg GAE/100 g DW sampel) dan ORAC (84.63 µmol TE/ 100 g DW sampel) yang paling tinggi berbanding sampel yang lain. Manakala, tidak terdapat perbezaan signifikan (p>0.05) antara ekstrak K. alvarezii dari lokasi berbeza bagi perencatan α-amilase dan α-glukosidase. Bagi penentuan mineral dan logam berat dalam K. alvarezii, turut dipengaruhi oleh faktor proses dan lokasi (kecuali Se). Kajian ini turut dijalankan bagi menentukan kesan turutan rendaman (tiga kali) terhadap aktiviti antioksidan, mineral dan logam berat dalam air rendaman K. alvarezii. Keputusan diperoleh mendapati faktor turutan rendaman dan lokasi mempengaruhi aktiviti antioksidan, kandungan mineral dan logam berat dalam air rendaman. Kesimpulannya, K. alvarezii mempunyai pelbagai mikronutrien yang bermanfaat kepada kesihatan manusia. Namun, nilai khasiat dipengaruhi oleh proses dan lokasi K. alvarezii diperoleh. Jadi, untuk mendapat manfaat yang optimum daripada K. alvarezii, kedua-dua faktor ini perlu diambil kira semasa pengambilan rumpai laut.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Sarjana Sains
Pages: 148
Call Number: TP363.N647 2018 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_103682+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
6.13 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.