Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463724
Title: Pengenalpastian gen yang berkaitan dengan senesens bunga Rafflesia cantleyi melalui analisis transkriptom
Authors: Nur Atiqah Mohd Elias (P78455)
Supervisor: Wan Kiew Lian, Prof. Dr.
Keywords: Transkriptom
Rafflesia -- Genetics
Issue Date: 16-Jul-2018
Description: Rafflesia merupakan spesies tumbuhan unik yang menghasilkan bunga terbesar di dunia. Pertumbuhan Rafflesia daripada fasa kudup kepada fasa bunga mengambil masa antara tiga hingga empat tahun, namun bunga Rafflesia hanya berkembang selama lebih kurang seminggu sebelum ia mati. Pengawalaturan genetik yang menjadi asas kepada senesens bunga Rafflesia masih kurang diketahui. Oleh itu, kajian ini dijalankan dengan tujuan menganalisis data transkriptom Rafflesia cantleyi yang dijana menggunakan pentas Illumina HiSeqTM 2000 pada dua fasa bunga mekar, iaitu fasa 1 (hari 1 hingga 2), dan fasa 2 (hari 3 hingga 4). Selain itu, kajian ini juga bertujuan untuk mengenalpasti gen R. cantleyi yang menunjukkan pengekspresan berbeza pada peringkat bunga yang berlainan secara in silico serta mengesahkan profil pengekspresan gen R. cantleyi pada peringkat bunga yang berlainan menggunakan PCR kuantitatif. Sejumlah 53,271,858 jujukan bacaan berkualiti tinggi diperoleh daripada dua fasa bunga mekar. Perhimpunan transkriptom secara de novo pula telah menghasilkan sejumlah 64,152 transkrip daripada fasa bunga mekar, dimana 61 peratus dan 42 peratus transkrip masing-masing menunjukkan persamaan pada protein yang terdapat pada pangkalan data NR dan Swiss-Prot. Tambahan pula, sebanyak 29 peratus transkrip mempunyai persamaan pada protein yang terdapat pada pangkalan data Leaf Senesensce Database (LSD). Berdasarkan pengkelasan ontologi gen (GO), transkrip menunjukkan penglibatan tertinggi dalam proses metabolik dan aktiviti katalisis. Analisis pengekspresan gen pula menunjukkan bahawa terdapat 5,166 transkrip yang mempunyai pengekspresan berbeza, iaitu 4,062 transkrip mempunyai peningkatan pengekspresan dan 1,104 transkrip mempunyai penurunan pengekspresan pada fasa 2 berbanding fasa 1. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,040 transkrip telah dikenal pasti sebagai gen yang terlibat dalam senesens. Analisis PCR kuantitatif telah dilakukan terhadap beberapa gen yang mempunyai pengekspresan berbeza bagi mengesahkan corak pengekspresannya. Hasil kajian ini mendapati bahawa semakin lama bunga mekar, semakin berkurang aktiviti pertumbuhan dan perkembangan bunga. Sebaliknya, terdapat peningkatan aktiviti yang melibatkan senesens bunga. Senesens dalam Rafflesia tercetus daripada isyarat dalaman dan sekitaran yang telah mengaktifkan pelbagai gen berkaitan senesens yang terlibat dalam aktiviti transkripsi, tindak balas redoks dan pengangkutan semula nutrien. Dalam kajian ini, gen berkaitan senesens mempunyai pengekspresan berbeza, berkemungkinan disebabkan oleh penalaan halus pelbagai tindak balas semasa senesens bunga Rafflesia. Tambahan pula, analisis tapak jalan menunjukkan penglibatan tapak jalan hormon etilena yang dikawalatur semasa senesens Rafflesia. Secara keseluruhannya, hasil kajian ini memberi fahaman baru berkenaan proses biologi yang berlaku semasa senesens bunga Rafflesia.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah Sarjana Sains"
Pages: 118
Call Number: QK495.R15N833 2018 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_103677+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
5.1 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.