Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463717
Title: | Ekstrak xanton Garcinia mangostana: kajian kesan anti-kanser secara in-vitro terhadap sel HepG2 hipoksia dan keupayaan anti-oksidanya menggunakan Danio rerio |
Authors: | Muhammad Akram Mohd Noordin (P80543) |
Supervisor: | Mohd Shazrul Fazry Sa'ariwijaya, Dr. |
Keywords: | Xanthone |
Issue Date: | 1-Jun-2018 |
Description: | Xanton merupakan sebatian aktif fenol yang terkandung di dalam perikapa Garcinia mangostana. Kajian lepas menunjukkan xanton mempunyai aktiviti anti-oksida dan anti-kanser. Bagaimanapun, masih lagi terdapat kekurangan maklumat mengenai keberkesanan xanton sebagai agen anti-kanser terhadap kanser hipoksia dan sebagai agen anti-oksida dalam model in vivo. Sel tumor dalam proses perkembangannya menggunakan oksigen yang banyak dan menyebabkan terhasilnya persekitaran hipoksia (kurang oksigen). Keadaan hipoksia menyebabkan tumor mengubah metabolismenya lantas menjadikannya semakin sukar dirawat. Kajian ini dijalankan untuk mengkaji kesan ekstrak kasar xanton (EK xanton) daripada Garcinia mangostana dan α-mangostin terhadap titisan sel hepatosel karsinoma manusia dalam keadaan hipoksia dan juga kebolehannya sebagai rawatan anti-oksida secara in vitro dan in vivo. Kajian ini juga bertujuan mengkaji potensi kedua-dua perlakuan xanton dan α-mangostin sebagai rawatan penyembuhan luka dan kesan ketoksikannya terhadap embrio zebrafish (Danio rerio). EK xanton telah diekstrak dengan menggunakan pelarut campuran aseton dan air (80:20) dan sebatian yang terkandung di dalamnya dikenalpasti dengan menggunakan kormatografi cecair prestasi tinggi (HPLC). Hasil menunjukkan beberapa kompaun termasuk α-mangostin terdapat di dalam EK xanton. Menerusi asai DPPH, sifat anti-oksida EK xanton dan α-mangostin dikaji. IC50 yang diperoleh menunjukkan EK xanton (8.25±0.20 μg/mL) mempunyai kesan hapus sisa yang tinggi berbanding α-mangostin (>50 μg/mL). Asai calar yang dijalankan menunjukkan sel VERO yang dirawat dengan α-mangostin mempunyai peratusan migrasi sel yang lebih tinggi berbanding dengan sel yang dirawat dengan EK xanton sebanyak 20.28±1.45%. Melalui asai MTT, EK xanton (50.23±1.38 μg/mL) dan α-mangostin (8.39±0.14 μg/mL) menunjukkan kesan anti-proliferasi yang tinggi pada sel HepG2 normoksia berbanding dengan dadah rujukan kemoterapi kanser hepar, 5-fluorourasil (143.75±15.31 μg/mL). Dalam keadaan hipoksia pula, EK xanton dan 5-fluorourasil kurang merencat pertumbuhan sel HepG2 (IC50 = 109.38±1.80μg/mL dan > 500 μg/mL). Manakala α-mangostin pula menunjukkan IC50 yang hampir sama dengan keadaan normoksia (10.11±0.05 μg/mL). Kajian ketoksikan embrio D. rerio menunjukkan EK xanton sehingga kepekatan 31.25 μg/mL adalah selamat digunakan terhadap D. rerio. α-mangostin pada kepekatan 12.5 μg/mL telah menyebabkan ekor bengkok pada D. rerio. Hasil kajian asai letusan pernafasan menunjukkan EK xanton, α-mangostin dan asid askorbik menunjukkan sedikit penurunan dalam peratusan inflamasi berbanding dengan kawalan dan tiada perbezaan ketara diantara setiap perlakuan dan kawalan (87.42±0.54%, 88.12±0.86%, 85.57±0.44% dan 100%). Kesimpulannya, EK xanton dan α-mangostin berpotensi sebagai agen anti-kanser dan anti-oksida berdasarkan keupayaan masing-masing untuk merencat sel kanser hepar (HepG2) hipoksia dan juga mengurangkan radikal bebas. Bagaimanapun, α-mangostin menunjukkan hasil yang lebih baik berbanding EK xanton dalam merencat sel HepG2 hipoksia dan membantu migrasi sel VERO. Keupayaan EK xanton dan α-mangostin dalam mengawal proliferasi dan migrasi sel normal dapat memberi maklumat mengenai kebolehan kedua-dua perlakuan dalam penyembuhan luka.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah Sarjana Sains" |
Pages: | 75 |
Call Number: | QD405.M833 2018 tesis |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_103396+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 1.15 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.