Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463629
Title: | Gerak balas keimunan semula jadi caenorhabditis elegans selepas pendedahan kepada sinaran ultra ungu dan hidrigen peroksida |
Authors: | Nazariyah Yahaya (P43130) |
Supervisor: | Sheila Nathan, Prof. Dr. |
Keywords: | Keimunan Sinaran ultra ungu Caenorhabditis elegans |
Issue Date: | 31-May-2011 |
Description: | Tapak jalan pengisyaratan pertahanan keimunan semula jadi diaktifkan melalui pengenalan molekul patogen oleh reseptor perumah, sinaran ultra ungu (UV) atau tekanan oksidatif. Sinaran UV dan spesies oksigen reaktif (ROS) dicadangkan boleh mengaruh mekanisma pertahanan perumah melawan patogen. Kesan pendedahan sinaran UV-C dan hidrogen peroksida (H₂O₂) ke atas sistem keimunan organisma hidup masih kurang diketahui. Dalam kajian ini, nematoda Caenorhabditis elegans telah digunakan sebagai model biologi untuk mengetahui kesan pendedahan sinaran UV-C dari segi kerosakan DNA, pembaikpulihan DNA dan kebolehannya melawan infeksi B. pseudomallei selepas pendedahan kepada sinaran UV-C dan H₂O₂. Pendedahan C. elegans kepada H2O2 telah dilakukan dalam kajian ini bertujuan memberi kesan kehadiran ROS secara langsung untuk mewujudkan persekitaran oksidatif. Analisis data menunjukkan semakin tinggi dos sinaran UV-C semakin menurun kemandirian C. elegans. Pemerhatian ini juga selaras dengan peningkatan pembentukan gegelang siklobutana primidina (CPD) apabila dos sinaran UV-C semakin tinggi. Meskipun begitu, pembentukan CPD menurun secara signifikan merentasi masa. Ini menunjukkan mekanisma pembaikpulihan DNA di dalam cacing boleh mengesan dan membaikpulih kerosakan ini secara efektif. Perbandingan telah juga dilakukan ke atas kemandirian antara cacing tanpa dan dengan kehadiran sinaran UV-C ketika diinfeksi B. pseudomallei pada tempoh masa yang berlainan. Corak kemandirian yang sama diperhatikan untuk nematoda yang diberikan sinaran UV-C dan tanpa tindakan sinaran UV-C setelah terinfeksi dengan B. pseudomallei mengikut masa sehingga tempoh tiga hari pasca sinaran. Bagaimanapun, peningkatan kesensitifan terhadap patogen ditunjukkan pada cacing yang diinfeksi tujuh hari selepas pendedahan kepada sinaran UV-C. Pengekspresan superoksida dismutase (SOD-3) pada C. elegans tanpa dan dengan pendedahan kepada sinaran UV-C menurun mengikut umur cacing tersebut. Pemerhatian ini menunjukkan pengekspresan SOD-3 lebih nyata terlibat dalam proses perkembangan berbanding dengan pengumpulan kerosakan yang disebabkan sinaran UV-C. Asai kesensitifan C. elegans terhadap 10mM H₂O₂ menunjukkan berlakunya penurunan kemandirian dan peningkatan keupayaan infeksi B. pseudomallei pada cacing 24 jam selepas pendedahan kepada H2O2. Di sini dicadangkan bahawa pengumpulan ROS semasa pendedahan kepada H₂O₂ menggangu kebolehan gerak balas cacing terhadap patogen B. pseudomallei. Kesimpulannya, pendedahan C. elegans kepada sinaran UV-C tidak memberi kesan kepada keupayaan melawan infeksi patogen di peringkat awal, tetapi hanya memberi kesan ketika usia meningkat. Sebaliknya pendedahan C. elegans kepada H2O2 terus memberi kesan secara langsung terhadap keupayaan nematoda ini melawan infeksi B. pseudomallei. Kedua-dua agen ini mampu menindas keimunan semula jadi C. elegans yang membawa kepada kejayaan infeksi B. pseudomallei ke atas cacing.,Master/ Sarjana |
Pages: | 81 |
Call Number: | QL391.N4N349 2011 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_85080+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 1.32 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.