Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463603
Title: | Pengubahsuaian, pencirian dan aplikasi getah asli cecair |
Authors: | Naharullah bin Jamaluddin (P73090) |
Supervisor: | Siti Fairus Mohd Yusoff Dr. |
Keywords: | Getah asli cecair Rubber chemicals |
Issue Date: | Dec-2015 |
Description: | Getah asli cecair (LNR) adalah getah asli (NR) terubahsuai dengan rantai polimer yang lebih pendek dan berat molekul di bawah 100,000 u tanpa perubahan mikrostruktur rantai utama NR. Dalam kajian ini, LNR disintesis secara pendegradasian fotooksidatif sebelum penghidrogenan dijalankan ke atasnya. Penghidrogenan LNR adalah secara in-situ dengan p-toluenasulfonil hidrazida (TSH) sebagai penjana hidrogen. Termolisis TSH menghasilkan diimida dan seterusnya hidrogen. Penghidrogenan LNR dilakukan supaya kelemahan NR dapat ditingkatkan seperti ketahanan yang rendah terhadap minyak dan cuaca. Struktur produk hasil kajian telah dicirikan dengan melihat perubahan atau perbezaan pada puncak-puncak utama iaitu puncak ikatan tak tepu karbon-karbon pada spektrum Fourier-transform inframerah (FTIR) dan resonans magnet nukleus (NMR) sebelum dan selepas penghidrogenan LNR. Berdasarkan analisis kromatografi penelapan gel (GPC), pendepolimeran NR menghasilkan LNR dengan berat molekul sekitar 88,000 u dan penghidrogenan LNR menghasilkan getah asli cecair terhidrogen (HLNR) dengan berat molekul yang lebih rendah daripada 5,000 u. Selain itu, beberapa parameter tindak balas dimanipulasi supaya sasaran peratusan penghidrogenan yang optimum (>90%) mampu dicapai. Peratusan penukaran HLNR dikira berdasarkan nilai nisbah integrasi pada spektrum 1H-NMR antara proton olefinik dan paraffin. Nisbah berat TSH/LNR yang digunakan mempengaruhi tahap penghidrogenan dengan berkadar terus. Pada nisbah berat 3:1, peratusan penghidrogenan diperolehi adalah melebihi 90%. Sebaliknya, kuantiti LNR yang digunakan pula adalah berkadar songsang dengan peratusan penghidrogenan. Seterusnya, masa dan suhu tindak balas yang diperlukan bagi mencapai peratusan optimum adalah selama 6 jam pada 120 °C. Kandungan getah kering yang sesuai digunakan bagi penghidrogenan LNR ini adalah lebih kurang 10%. Oleh itu, peratusan penghidrogenan optimum dicapai pada nisbah berat 3:1 TSH/LNR (3.0 g, 10% kandungan getah kering) selama 6 jam pada suhu 120°C. Di samping itu, analisis pembelauan sinar-x (XRD) digunakan bagi menentukan tahap penghabluran hasil kajian. LNR tidak menunjukkan ciri-ciri kehabluran berbanding HLNR yang memberikan beberapa puncak tajam yang menunjukkan pembentukan hablur berlaku di dalam makrostruktur isoprena. Analisis termogravimetri (TGA) juga telah dilakukan bagi mengkaji kestabilan terma NR, LNR, dan HLNR. Pendepolimeran NR menunjukkan tiada perubahan suhu penguraiannya. Peningkatan suhu penguraian maksimum dicatatkan setelah penghidrogenan berlaku dengan peratusan penghidrogenan yang lebih tinggi mempunyai suhu penguraian maksimum yang lebih tinggi. HLNR juga mampu berfungsi sebagai bahan pengisi yang baik bagi adunan getah asli/polistirena (NR/PS). Berdasarkan kajian reologi, komposisi adunan larutan NR/PS/HLNR 56:40:4 dilihat mampu meningkatkan modulus simpanan, modulus kehilangan, dan kelikatan kompleks adunan NR/PS. Sifat fizikal bahan seperti kekuatan tegangan dan hentaman juga meningkat berdasarkan ujian ketahanan pada komposisi adunan pepejal NR/PS/HLNR 56:40:4. Tambahan pula, HLNR adalah suatu pengserasi yang efektif untuk pengadunan NR/PS yang dibuktikan oleh kajian morfologi daripada mikroskop optik.,Master / Sarjana |
Pages: | 124 |
Call Number: | TS1890.N336 2015 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_84821+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 12.3 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.