Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463533
Title: | Pemencilan dan penggunaan mikroorganisma indigenus dalam pengkomposan jerami padi |
Authors: | Nurul Ain Abu Bakar (P57558) |
Supervisor: | Nazlina Ibrahim, Prof Madya Dr. |
Keywords: | Agricultural microbiology |
Issue Date: | 13-May-2015 |
Description: | Penggunaan mikroorganisma indigenus (IMO) dalam pertanian semula jadi telah diperkenalkan untuk meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman. Kajian ini dilakukan untuk menghasilkan IMO tersendiri dan diaplikasikan pada kompos untuk melihat keberkesanannya ke atas rawatan pengkomposan menggunakan campuran bahan asas yang berbeza. Mikroorganisma indigenus awalan diperoleh daripada kawasan tanah yang tidak tercemar dengan bahan kimia dan dirambat penghasilannya sehingga menghasilkan IMO P2. Aktiviti kompos dijalankan di dalam tong dengan menggunakan beberapa rawatan. Rawatan-rawatan kompos terdiri dari kawalan iaitu kompos yang mengandungi jerami sahaja (T1), jerami dan IMO P2 (T2), jerami, najis kambing dan dedak (T3), jerami, najis kambing, dedak dan IMO P2 (T4). Pengkomposan dijalankan selama 35 hari dan dibalik-balikkan secara manual. Suhu kompos dicatat dan data untuk nisbah karbon kepada nitrogen (C/N), kelembapan kompos, pH, konduktiviti elektrik (KE) dianalisis. Kaedah piring sebaran digunakan untuk melihat kehadiran mikroorganisma dalam setiap fasa pengkomposan. Suhu menunjukkan kompos melalui beberapa peringkat penguraian iaitu fasa mesofilik, fasa termofilik dan fasa matang. T3 dan T4 mencapai suhu yang lebih tinggi berbanding T1 dan T2. Kehadiran najis kambing sebagai sumber nitrogen menyediakan nisbah C/N kompos yang optimum untuk pertumbuhan bakteria pengurai dan sekaligus mempercepatkan kenaikan suhu akibat aktiviti mikroorganisma. Suhu tertinggi yang dicatat dalam rawatan T4 adalah 43°C. Rawatan menggunakan IMO mempunyai fasa termofilik yang lebih lama iaitu sekitar 7 hari dan rawatan tanpa IMO mempunyai fasa termofilik selama 3 hari. Nilai pH menunjukkan penurunan sepanjang proses pengkomposan. Walau bagaimanapun, pH bagi kesemua rawatan berada dalam julat 7.5-7.6 pada hari ke 35. Nilai KE bagi T3 dan T4 adalah lebih tinggi berbanding T1 dan T2 iaitu sekitar 2.5-2.8 dS/m. Kelembapan kompos menurun bagi setiap rawatan dan berada pada julat 44-35 % pada akhir pengkomposan. Perbezaan rawatan adalah signifikan terhadap faktor suhu (P=0.002), kelembapan kompos (P=0.0999) dan KE (P<0.001). Nisbah karbon dan nitrogen menunjukkan penurunan yang ketara pada T3 dan T4 berbanding T1 dan T2. Penggunaan najis kambing dalam rawatan didapati mempercepatkan proses penguraian jerami berbanding pengkomposan jerami sahaja kerana campuran najis kambing dan jerami padi pada awal pengkomposan menurunkan nilai C/N kompos. Kompos yang dirawat dengan IMO menunjukkan penurunan C/N yang lebih ketara dengan T4 menunjukkan C/N kompos yang matang dengan nisbah 9.5 pada hari ke 35. Analisis mikroorganisma menunjukkan rawatan kompos dengan IMO mempunyai kepelbagaian mikroorganisma yang lebih tinggi iaitu 3.16×1109 CFU g-1 untuk bakteria mesofilik dan 7.9×1108 CFU g-1 untuk bakteria termofilik. Kulat menunjukkan bilangan koloni yang rendah berbanding bakteria sepanjang proses pengkomposan. Aktinomiset hanya dilihat tinggi pada akhir pengkomposan dengan nilai 3.16×1107 CFU g-1. Pengenalpastian IMO menggunakan kit API menunjukkan kehadiran beberapa bakteria dari genus Pseudomonas, dan Enterobacter manakala dengan menggunakan jujukan 16S rDNA menunjukkan kehadiran beberapa Bacillus spesies. Kesimpulannya, kehadiran IMO dengan penambahan najis kambing dan dedak dapat meningkatkan kepelbagaian mikroorganisma dalam sistem kompos dan berupaya menstabilkan fasa termofilik pengkomposan.,Sarjana Sains |
Pages: | 122 |
Call Number: | QR51.N847 2015 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_83265+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 2.77 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.