Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463494
Title: | Transformasi nanozarah kanji berhablur kepada nanodot karbon yang berpendarkilau tinggi dan aplikasinya |
Authors: | Regina Sisika Sonthanasamy (P74043) |
Supervisor: | Wan Yaacob Wan Ahmad, Prof. Madya |
Keywords: | Nanozarah argentum Kanji gadong Aplikasi Starch |
Issue Date: | 10-Jan-2016 |
Description: | Objektif utama penyelidikan ini adalah untuk mensintesis nanodot karbon (dot-K) yang berpendarfluor dari kanji Dioscorea hispida Dennts (Ubi gadong). Ketoksikan ubi gadong menghadkan penggunaannya sebagai sumber makanan yang boleh terus dimasak, dan dengan itu ia wujud dalam kuantiti yang besar di banyak kawasan di dunia. Oleh itu, ubi gadong boleh digunakan sebagai sumber polisakarida yang berpotensi bagi pelbagai aplikasi industri dan bukan industri. Dalam penyelidikan ini, hidrolisis berasid pada 40 °C bagi kanji gadong telah dipantau sehingga 7 hari. Kadar hidrolisis bagi kanji gadong selama 7 hari telah meningkat ke 86% dari 49% bagi hidrolisis satu hari. Pengukuran pembelauan sinar-X menunjukkan bahawa zarah kanji gadong asli dan nanohablur yang disediakan darinya adalah jenis berhablur-C, dan nanohablur tersebut memperlihatkan peningkatan dalam keterhabluran. Kalorimetri pengimbasan pembezaan menunjukkan nanohablur jenis-C di atas mempunyai perubahan entalpi sebanyak 3.6 ± 0.2 J/g. Tambahan lagi, spektrofotometer ultralembayung-boleh nampak (UL-BN) menunjukkan bahawa kandungan amilosa menurun dari 16.3 ke 8.2%. Hasil mikroskopi transmisi elektron (MTE) dan mikroskopi pancaran medan pengimbasan elektron menunjukkan bahawa morfologi nanozarah kanji adalah sama ada bulat atau bujur, dengan diameter berjulat dari 50 ke 90 nm dan saiz ini telah dibuktikan oleh analisis penyerakan cahaya dinamik. Nanohablur kanji gadong yang disediakan telah dikarbonkan kepada dot-K menggunakan penyahhidratan berasid, dan diikuti oleh pengoksidaan permukaan dalam asid nitrik akueus. Kedua-dua tindak balas kimia tersebut telah mengubah saiz nanozarah kanji dari 50-90 ke 6-25 nm. Dot-K yang disintesis telah memperlihatkan pendarfluor dengan puncak pancaran tetap pada 441 nm walaupun pengujaan telah diuji dengan pelbagai foton yang bertenaga tinggi. Spektrum UL-BN dengan puncak penyerapan pada 290 nm menunjukkan kehadiran ikatan C=O dan ia telah dibuktikan oleh inframerah terjelma Fourier (IMTF). Analisis ketoksikan dengan ikan kuda belang menunjukkan dot-K dari nanohablur gadong adalah kurang toksik. Dot-K yang diperolehi telah diubahsuai permukaannya dengan polietilenaimina bercabang (PEIB) dan O,O′-bis(3-aminopropil) polietilena glikol 1500N (PEG1500N). Imej MTE bagi dot-K yang diubahsuai dengan PEIB (dot-K-PEIB) menunjukkan bentuk bulat dengan diameter 16-36 nm manakala dot-K yang diubahsuai dengan PEG1500N (dot-K-PEG1500N) mempunyai diameter 10-31 nm. Analisis UL-BN menunjukkan perubahan dari dot-K ke dot-K-PEG1500N menunjukkan puncak serapan pada 290 nm manakala dot-K-PEIB menunjukkan puncak serapan pada 223 dan 364 nm. Kedua-dua dot-K yang diubahsuai permukaan menunjukkan sifat pendarfluor apabila dianalisis menggunakan spektrofluorometer. Puncak baru pada 1700 cm-1 dalam spektrum IMTF mengesahkan pengubahasuaian terhadap dot-K berlaku dengan jayanya. Analisis ketoksikan dengan ikan kuda belang menunjukkan dot-K kurang toksik dan dot-K-PEIB toksik manakala dot-K-PEG1500N tidak toksik. Kehadiran kumpulan amida selepas permukaan dot-K diubahsuai dengan PEG1500N telah mengurangkan paras ketoksikan yang berpunca dari penurunan sentuhan bahan nano dengan sel. Yang pentingnya, kajian ini telah berjaya memperlihatkan pendekatan baru menukar kanji gadong kepada dakwat pendarfluor yang unik kerana sifat pancaran dan pendarfluor mereka yang stabil.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah" |
Pages: | 163 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_82989+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 253.42 kB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.