Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/463479
Title: | Penggunaan konsortium bakteria dan kulat pencilan tempatan dan kesan biostimulasi dalam bioremediasi tanah tercemar dengan minyak mentah tapis |
Authors: | Siti Nursyazana Md. Salleh (P43097) |
Supervisor: | Ainon Hamzah, Prof. Datin Dr. |
Keywords: | Dissertations, Academic -- Malaysia Bioremediasi Biostimulasi |
Issue Date: | 6-Sep-2013 |
Description: | Bioremediasi adalah suatu kaedah yang menggunakan agen biologi seperti bakteria, kulat atau tumbuhan hijau untuk memindahkan atau meneutralkan bahan cemar dalam tanah dan air yang tercemar. Biostimulasi juga telah dijalankan bagi meningkatkan lagi proses bioremediasi. Bagi mengetahui proses sebenar yang berlaku dalam tanah, kajian simulasi tanah telah dilakukan di rumah tumbuhan UKM. Objektif kajian ini adalah, untuk menentukan gabungan pencilan mikrob yang terbaik untuk proses biodegradasi minyak mentah, untuk menentukan sumber nutrien terbaik, saiz inokulum dan kepekatan minyak mentah yang optimum bagi meningkatkan peratus degradasi minyak mentah, untuk menentukan kesan penambahan agen pemukal dalam meningkatkan peratus degradasi minyak mentah dan untuk menentukan perubahan populasi mikroorganisma di dalam tanah sebelum dan selepas proses biodegradasi. Kajian dijalankan dengan menggunakan bakteria dan kulat yang telah dipencilkan daripada kajian terdahulu yang terbukti berpotensi dalam biodegradasi minyak mentah Tapis. pH dan kelembapan tanah dikawal pada julat pH 5.5-6.5 dan ~40% kapasiti memegang air (WHC). Persampelan campuran konsortium mikrob dan agen pemukal dilakukan setiap 5 hari sehingga 30 hari eraman. Sampel tanah yang diambil dilakukan analisis degradasi hidrokarbon petroleum jumlah (TPH) dengan menggunakan kromatografi gas-pengesan ion bernyala (GC-FID), bilangan bakteria dengan kaedah piring sebaran dan penentuan populasi bakteria dalam tanah menggunakan kaedah tindak balas berantai polimerase-elektroforesis gel berkecerunan nyahasli (PCR-DGGE). Hasil kajian mendapati konsortium bakteria dan kulat adalah paling baik dalam biodegradasi 3% (b/b) minyak mentah Tapis dengan peratus degradasi 99.8% dalam tempoh 10 hari eraman. Pengoptimuman parameter nutrien menunjukkan penambahan baja komersil NPK dapat meningkatkan pertumbuhan mikroorganisma dalam tanah yang ditambah dengan 5% (b/b) minyak mentah Tapis dengan peratus degradasi TPH sebanyak 100% dalam tempoh 20 hari eraman. Penggunaan saiz inokulum konsortium sebanyak 20% (i/b) telah memendekkan masa eraman pada hari ke-10 dengan peratus degradasi sebanyak 98.1%. Peningkatan kepekatan minyak mentah sebanyak 10% (b/b) adalah yang paling optimum yang boleh didegradasi oleh konsortium mikrob dengan 100% TPH didegradasi pada hari ke-30. Hasil kajian menunjukkan gabungan penambahan 20% (b/b) agen pemukal dan 0.7% (i/b) baja komersil NPK telah membantu meningkatkan bilangan bakteria sehingga 1.8 x 109cfu/g tanah dengan 100% degradasi dalam tempoh 30 hari eraman. Hasil analisis populasi mikrob menggunakan kaedah PCRDGGE mendapati bakteria yang telah diinokulasi ke dalam tanah iaitu Pseudomonas aeruginosa masih dapat dikesan dalam tanah tercemar selepas 30 hari eraman. Manakala pertumbuhan kulat Trichoderma virens TriUKMP-1M dan TriUKMP-2M telah dibuktikan kewujudannya sehingga hari ke-30 eraman melalui pengkulturan di atas agar dekstrosa kentang (PDA),Sarjana |
Pages: | 126 |
Call Number: | TD192.5 .S594 2013 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
ukmvital_81916+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF Restricted Access | 2.54 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.