Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/462791
Title: Kepelbagaian chironomidae di sungai-sungai tanah tinggi terpilih, Malaysia
Authors: Siti Hafizah Ahmad (P74648)
Supervisor: Ahmad Abas Kutty, Prof Dr.
Keywords: Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Chironomidae -- Malaysia
Issue Date: 20-Jan-2017
Description: Kajian kepelbagaian chironomid (Diptera: Chironomidae) telah dijalankan di 10 sungai kawasan tanah tinggi yang bermula daripada 436 m hingga 1575 m dari aras laut iaitu enam sungai di Janda Baik (Sg. Benus, Sg. Chemperoh, Sg. Luruh, Sg. Cheringin, Sg. Tampik dan Sg. Sum Sum), satu sungai di Bukit Fraser (Sg. Jeriau) dan tiga sungai di Cameron Highland (Sg. Bertam, Sg. Pauh dan Sg. Palas). Kajian ini dijalankan untuk menghasilkan satu data asas kepelbagaian dan senarai semak Famili Chironomidae kawasan tanah tinggi di Malaysia. Sebanyak 50 persampelan telah dipilih dan persampelan chironomid dilakukan dengan menggunakan jaring Surber dan analisis kualiti air dilakukan menurut kaedah APHA. Sampel chironomid telah dicamkan sehingga ke aras taksonomi terendah yang boleh, manakala penilaian kualiti air dilakukan melalui pengiraan indeks kualiti air Malaysia (WQI). Hasil menunjukkan kesemua sungai kajian mempunyai kualiti air yang baik dengan nilai WQI yang diperoleh adalah di antara 88-97, mengkelaskan sungai-sungai kajian dalam kelas I dan II. Sg. Benus, Sg. Chemperoh, Sg. Jeriau dan Sg. Bertam berada dalam kelas II kerana nilai sub-indeks ammonia nitrogen rendah yang menurunkan nilai WQI. Parameter kualiti air di antara sungai-sungai kajian tidak berbeza dengan bermakna (p>0.05, α=0.05), kecuali parameter TSS (p< 0.05, α = 0.05) berdasarkan ujian ANOVA satu hala. Walau bagaimanapun, nilai TSS kesemua sungai masih lagi berada dalam kelas I dan IIA menunjukkan kualiti air yang masih baik dan bersih. Ujian ANOVA satu hala juga menunjukkan bahawa ciri fizikal sungai seperti komposisi substrat, litupan kanopi dan halaju air adalah berbeza dengan ketara (p<0.05, α = 0.05), menunjukkan setiap sungai mempunyai ciri habitat yang tersendiri. Sebanyak 4859 individu daripada tiga subfamili Chironomidae telah dicamkan iaitu Chironominae (2391 individu), Orthocladiinae (2153 individu) dan Tanypodinae (315 individu) dengan komposisi 49%, 44% dan 7% daripada keseluruhan individu. Sebanyak 29 genus telah dicamkan daripada subfamili Chironominae dan Orthocladiinae, namun kerana kekurangan rujukan taksonomi yang ada, subfamili Tanypodinae hanya dicamkan sehingga aras subfamili sahaja. Subfamili Chironominae didominasi oleh genus Polypedilum dan Rheotanytarsus dengan komposisi 81% dan 15% daripada jumlah individu Chironominae dan kedua-dua genus ini ditemui di semua stesen persampelan. Genus Tvetenia, Cricotopus dan Rheocricotopus pula merupakan genus dominan dalam Orthocladiinae dengan 86% daripada komposisi keseluruhan Orthocladiinae. Namun, hanya Cricotopus didapati hadir di semua sungai kajian. Larva chironomid yang diperoleh mempunyai corak sebaran yang pelbagai dan mempunyai kekayaan taksa yang tidak seragam di antara sungai kajian. Ciri morfologi dan aspek ekologi bagi kesemua 29 genus yang dijumpai telah dihuraikan dengan terperinci dan kajian ini telah berjaya menghuraikan 51 kumpulan baru di bawah aras genus berserta dengan kekunci baru. Subfamili Chironominae mendominasi di sungai kawasan yang beraltitud lebih rendah iaitu kawasan Janda Baik (63%), manakala subfamili Orthocladiinae pula mendominasi sungai beraltitud lebih tinggi iaitu Bukit Fraser (58%) dan Cameron Highlands (67%). Analisis kesepadanan berkanonik (CCA) menunjukkan genus yang dominan iaitu Tvetenia lebih dipengaruhi oleh altitud, Rheocricotopus oleh substrat berpasir dan Polypedilum oleh TSS. Penemuan dalam kajian ini boleh menambahkan maklumat dan pangkalan data chironomid untuk digunakan oleh pihak berkuasa dan penyelidik sebagai asas program penilaian kesihatan sungai di Malaysia,Tesis ini tiada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 246
Call Number: QL537.C456S568 2017 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_121738+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
2.54 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.