Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/462642
Title: Penghasilan dan pencirian biosurfaktan yang dihasilkan oleh Bacillus subtilis UKMP-4M5
Authors: Ummul Khair Mohd. Syahriansyah (P52811)
Supervisor: Ainon Hamzah, Prof. Datin Dr.
Keywords: Academic achievement
Information resources management
Parent-teacher relationships
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: Jan-2017
Description: Biosurfaktan adalah molekul amfifilik yang terdiri daripada moeiti hidrofobik dan hidrofilik yang dihasilkan oleh pelbagai mikroorganisma seperti yis, kulat dan bakteria. Molekul ini berupaya untuk berinteraksi di antara dua fasa yang berbeza seperti air-minyak atau air-udara dan ini meningkatkan ketersediaan substrat hidrofobik untuk pengemulsian dan penguraian oleh mikroorganisma. Objektif kajian ini ialah untuk menyaring dan mengenalpasti bakteria berpotensi menghasilkan biosurfaktan, menentukan sumber nutrien dan juga parameter fizikal untuk penghasilan biosurfaktan yang optimum dan untuk menentukan kesan penambahan biosurfaktan dalam biodegradasi minyak mentah oleh bakteria. Penyaringan bakteria penghasil biosurfaktan dilakukan dengan menghidupkan bakteria di dalam medium garam mineral (MSM) yang mengandungi 1% (i/i) minyak bunga matahari sebagai sumber karbon dan tenaga utama, dieram pada suhu 37°C, pH 7.0 dengan kelajuan goncangan 150 psm selama 5 hari. Penghasilan biosurfaktan ditentukan dengan kaedah ukuran ketegangan permukaan, indeks emulsifikasi dan teknik penyebaran minyak. Hasil kajian mendapati pencilan 4M5 merupakan bakteria yang paling berpotensi menghasilkan biosurfaktan dengan ukuran ketegangan permukaan terendah iaitu 41.75 mN/m, indeks emulsifikasi tertinggi iaitu 17% dan aktiviti sesaran minyak 5.0 cm. Pencilan 4M5 dikenalpasti dengan ujian biokimia dan analisis jujukan 16S rDNA dan dikenali sebagai Bacillus subtilis UKMP-4M5. Pengoptimuman sumber nutrien dan parameter fizikal ditentukan dengan mengambil nilai ukuran ketegangan permukaan terendah kultur supernatan bebas sel yang diperolehi selepas pengemparan. B. subtilis UKMP-4M5 ini menghasilkan biosurfaktan yang optimum dengan ukuran ketegangan permukaan 32.77 ± 0.66 mN/m apabila dihidupkan di dalam MSM yang mengandungi 2% (i/i) minyak kelapa sawit dan 0.5% (b/i) ekstrak yis masing-masing sebagai sumber karbon dan nitrogen terbaik pada suhu eraman 37°C dan pH awal kultur medium 6.5, dengan peratus penurunan ketegangan permukaan sebanyak 22% selepas pengoptimuman. Penghasilan biosurfaktan optimum dicapai selepas 3 hari pengeraman, iaitu semasa fasa logaritmik pertumbuhan bakteria. Biosurfaktan diekstrak dan ditulenkan melalui kaedah pemendapan asid diikuti dengan ekstrak pelarut menggunakan 100% (i/i) metanol, menunjukkan kestabilan aktiviti permukaan yang tinggi terhadap suhu di antara 10-100°C, pH 6-9 dan saliniti di antara 1-5% (b/i). Biosurfaktan separa tulen ini berupaya merendahkan ketegangan permukaan air suling daripada 72 mN/m kepada 32.63 ± 0.67 mN/m dengan nilai kepekatan misel kritikal (CMC) 120 mg/L. Hasil analisis kromatografi lapisan nipis (TLC) menunjukkan biosurfaktan ini mengandungi protein dan lipid, dan asai Bradford mengesahkan kehadiran protein dengan kepekatan 0.0172 mg/mL. Analisis spektroskopi menggunakan spektroskopi infra merah pengubah Fourier (FTIR) menunjukkan jalur penyerapan pada 3279 cm-1, 1630 cm-1 dan 1534 cm-1 yang merupakan ciri-ciri lazim bagi biosurfaktan jenis lipopeptida. Kajian biodegradasi 1% (i/i) minyak mentah ringan Tapis manis dengan penambahan 1% (b/i) biosurfaktan dalam MSM menunjukkan peratusan biodegradasi sebanyak 65% berbanding dengan medium tanpa biosurfaktan selepas 7 hari pengeraman. Hasil kajian ini menunjukkan B. subtilis berupaya menghasilkan biosurfaktan yang boleh diaplikasi dalam bioremediasi hidrokarbon.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah,Sarjana Sains
Pages: 119
Call Number: LB1063.K837 2017 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_118421+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
352.06 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.