Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/459078
Title: Pemikiran tasawuf Husain Nasir al-Banjari
Authors: Khairul Anuar Muhamad Ali (P62552)
Supervisor: Faudzinaim Badaruddin, Prof. Madya Dr.
Keywords: Ulama - Kedah
Issue Date: 9-Oct-2015
Description: Kajian ini memfokuskan tentang seorang tokoh ilmuwan tanah air yang terkenal dalam awal abad ke-20 iaitu Husain Nasir al-Banjari (1863-1935M) atau lebih dikenali sebagai Tuan Husain Kedah. Beliau pernah mengasaskan enam buah sekolah pondok dan juga berjaya menghasilkan dua puluh buah karya dalam pelbagai bidang ilmu agama, termasuk beberapa buah karya dalam bidang tasawuf. Walaupun terdapat pro dan kontra di kalangan ulama terhadap kedudukan ilmu tasawuf dalam ilmu-ilmu Islam, namun, Tuan Husain merupakan salah seorang ulama yang menerimanya, malah menyifatkan tasawuf sebagai ilmu yang paling mulia. Seperkara yang agak ketara dalam karya-karya beliau berbanding dengan penulisan ulama lain, ialah sikap konsisten dan tegas beliau menentang penyelewengan yang berlaku dalam tasawuf dan keunikan pemikiran beliau yang kurang didedahkan. Beliau juga telah membincangkan hampir keseluruhan disiplin ilmu tasawuf, termasuklah jalan menuju Allah SWT dan matlamatnya iaitu macrifatullah. Namun generasi kini kurang pendedahan, sehinggakan tidak mengetahui kehebatan, ketokohan, pemikiran dan pengalaman bertasawuf menurut Tuan Husain yang boleh dijadikan panduan. Oleh yang demikian, objektif utama kajian ini ialah memperkenalkan biografi Tuan Husain dengan lebih terperinci, menganalisis pemikiran tasawufnya melalui beberapa penulisan kitab beliau dan mengkaji pengalaman kerohanian bertasawuf menurut Tuan Husain. Oleh kerana disertasi ini merupakan suatu analisis tentang pemikiran seorang tokoh, maka kajian perpustakaan berasaskan analisis kandungan telah digunakan. Kaedah ini meneliti karya-karya tasawuf Tuan Husain sebagai sumber primer seperti Qatr al-Ghaythiyyah, Bidayat al-Talibin, Usul al-Tawhid, Tamrin al- Sibyan, Hidayat al-Mutafakkirin. Selain itu, rujukan juga dibuat kepada data-data sekunder, iaitu data-data daripada para pengkaji terdahulu. Bagi membuat kesimpulan pula, analisis data yang digunakan ialah metode induktif, deduktif dan komparatif. Hasil dapatan kajian ini menunjukkan bahawa pemikiran tasawuf Tuan Husain, dapat dilihat daripada usahanya menafsirkan istilah tasawuf kepada makna yang munasabah, mudah difahami dan tidak mengelirukan masyarakat awam. Malah, pemikiran tasawufnya jelas mengaitkan tasawuf dan akidah dengan menyimpulkan bahawa tasawuf adalah pati kepada ilmu Tauhid. Selain itu, dapatan kajian ini juga menunjukkan bahawa karya-karya beliau menegaskan hubungan kukuh antara shari'at, tarekat dan hakikat, yang berasaskan tauhid dan bernatijahkan ma'rifatullah. Kajian ini juga mendapati bahawa pendekatan pemikiran tasawuf Tuan Husain adalah antara tasawuf Imam Al-Ghazali dan Ibn 'Arabi. Oleh itu, pemikiran tasawufnya dapat dikategorikan sebagai gabungan pemikiran tasawuf sunni dan falsafi. Karyakaryanya memberi penekanan terhadap usaha-usaha sālik untuk mencapai ma'rifah melalui proses takhallī dan taḥallī. Bagaimanapun, Tuan Husain tidak menggunakan istilah-istilah yang kontroversi di alam tasawuf seperti martabat tujuh, hulul dan ittihad. Kajian juga menunjukkan beliau adalah seorang ulama yang berani menegur dan mengkritik perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam tanpa mengira status seseorang. Pemikiran tasawuf Tuan Husain adalah konsisten dalam merealisasikan “Amar Ma'ruf Nahi Mungkar” dengan mengajak masyarakat mengamalkan tasawuf yang tidak menyeleweng dari jalan yang benar. Justeru kajian ini mendapati Tuan Husain seorang ulama' yang cermat dalam karya-karya tasawufnya, lebih-lebih lagi dalam hal-hal berkaitan dengan akidah.,Master / Sarjana
Pages: 255
Call Number: BP80.H84K484 2015 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Islamic Studies / Fakulti Pengajian Islam

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_84031+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
4.49 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.