Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/457659
Title: Penentuan keupayaan galas cerucuk menggunakan kaedah empirik halaju gelombang ricih
Authors: Noor Adila Omar (P78224)
Supervisor: Khairul Anuar Mohd Nayan
Keywords: Galas cerucuk
Profil Tata Susunan Umum
Gelombang ricih
Analisis Spektral Gelombang Permukaan
Piling (Civil engineering)
Issue Date: 23-Jan-2017
Description: Amalan pada masa kini lazimnya melibatkan kerja-kerja penyiasatan tapak seperti ujian penusukan piawai, ujian ricih bilah, ujian penusukan kon dan ujian meter tekanan untuk mendapatkan parameter-parameter reka bentuk keupayaan galas cerucuk. Kesemua ujian-ujian ini ialah ujian musnah menyebabkan parameter-parameter geoteknik yang diperoleh adalah terganggu. Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan profil halaju gelombang ricih dan seterusnya membangunkan kaedah empirik untuk menilai keupayaan galas cerucuk menggunakan kaedah seismos dalam penyiasatan tapak. Hasil kaedah seismos ini kemudian dibandingkan dengan hasil daripada beberapa kaedah konvensional. Halaju gelombang ricih diperoleh menggunakan ujian Analisis Spektral Gelombang Permukaan (SASW) pada lokasi tapak pembinaan di Nilai, Negeri Sembilan dan Hulu Langat, Selangor dengan menggunakan geofon 1 Hz melalui konfigurasi Profil Tata Susunan Umum (CAP). Kaedah empirik keupayaan galas cerucuk menggunakan halaju gelombang ricih yang diperoleh telah dibangunkan berdasarkan teori penentuan keupayaan galas asas cetek muktamad Keçeli dengan penormalan terhadap nilai halaju gelombang ricih terhadap tekanan atmosfera. Untuk mendapatkan daya tanggung hujung muktamad cerucuk, formula Keçeli diguna pakai manakala daya geseran muktamad cerucuk pula telah diandaikan separuh dari daya tanggung hujung pada setiap kedalaman. Untuk tujuan perbandingan, analisis dilakukan terhadap 3 kaedah konvensional yang melibatkan data hasil ujian Analisis Hentaman Cerucuk (PDA), pelbagai hasil interpretasi Ujian Beban Kekal (MLT) dan data Ujian Penusukan Piawai (N-SPT). Oleh sebab hasil ujian PDA menunjukkan kekonsistenan nilai keupayaan galas cerucuk muktamad bagi kesemua cerucuk yang diuji, maka perbandingan hasil empirik seismos dan kaedah-kaedah yang lain telah dilakukan terhadapnya. Dari empat lokasi ujian lapangan yang dijalankan, peratusan perbezaan bagi nilai keupayaan galas muktamad cerucuk menggunakan kaedah empirik seismos dengan hasil ujian PDA adalah 1.81, 4.54, 6.27 dan 1.75 peratus. Pada lokasi cerucuk yang sama, hasil interpretasi terbaik MLT daripada kaedah Chin-Kondner dibandingkan dengan hasil ujian PDA telah memperoleh perbezaan 0.58, 1.64, 35.77 dan 16.12 peratus. Manakala hasil dapatan perbandingan kaedah Chin-Kondner dengan kaedah empirik seismos mencatatkan perbezaan 1.24, 2.98, 27.26 dan 14.09 peratus. Selain itu, terdapat tiga lokasi ujian lubang jara yang berdekatan dengan ujian MLT menghasilkan nilai peratusan perbezaan keupayaan galas cerucuk muktamad sebanyak 34.75, 12.80 dan 29.95 peratus. Hasil kajian ini menunjukkan kaedah empirik seismos berpotensi sebagai kaedah alternatif dalam reka bentuk geoteknik bagi mendapatkan keupayaan galas muktamad cerucuk dengan syarat data ujian lapangan halaju ricih diperoleh dengan jitu.,Tesis ini tidak ada Perakuan Tesis Sarjana/Doktor Falsafah"
Pages: 160
Call Number: TA780.N636 2017 3 tesis
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Engineering and Built Environment / Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
ukmvital_85643+SOURCE1+SOURCE1.0.PDF
  Restricted Access
594.03 kBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.