Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/396261
Title: Faktor-Faktor Yang Mempengaruhi Prahipertensi dan Hipertensi Dalam Kalangan Remaja di Sekolah-Sekolah Menengah di Melaka
Authors: Siti Nurbaya Abdul Aziz, Dr.
Supervisor: Zaleha Md. Isa, Prof Dr.
Azmi Mohd. Tamil, Prof Madya Dr.
Keywords: Prehypertension
Hypertension
Adolescent
Academic Dissertations as Topic
Issue Date: 2019
Abstract: Hipertensi merupakan salah satu sebab utama kematian penyakit tidak berjangkit di seluruh dunia. Prevalens hipertensi telah meningkat dalam kalangan dewasa dan remaja seiring dengan peningkatan obesiti. Prahipertensi dan hipertensi dalam kalangan remaja kurang didiagnosa kerana kerumitannya, iaitu memerlukan pengukuran ketinggian, penentuan persentil ketinggian dan rujukan kepada jadual tekanan darah normatif mengikut jantina, bagi menentukan persentil tekanan darah sistolik dan diastolik. Kajian ini bertujuan untuk menentukan prevalens prahipertensi dan hipertensi serta faktor-faktor yang mempengaruhinya dalam kalangan remaja yang bersekolah di Melaka. Faktor-faktor dikaji adalah faktor sosiodemografi, sejarah keluarga hipertensi, ketidakaktifan fizikal, kurang tidur, sejarah kelahiran, kesihatan mental, ukuran antropometri dan tabiat pengambilan makanan. Bagi memudahkan saringan, kaedah baru mengunakan nisbah tekanan darah sistolik dan diastolik kepada ketinggian / systolic and diastolic blood pressure to height ratio (SBPHR dan DBPHR) telah dibangunkan. Kajian ini juga bertujuan menentukan nilai titik potong optimum SBPHR dan DBPHR bagi mengesan prahipertensi dan hipertensi dalam kalangan remaja. Kajian keratan rentas ini dijalankan dalam kalangan 712 remaja di sekolah-sekolah menengah di Melaka dari Mac hingga Ogos 2016. Instrumen kajian terdiri daripada borang kajiselidik, pengukuran antropometri dan pemeriksaan tekanan darah. Kajiselidik pelajar terdiri daripada kajiselidik maklumat sosiodemografi, aktiviti fizikal, kesihatan mental dan kekerapan pengambilan makanan. Kajiselidik ibu bapa / penjaga meliputi status sosioekonomi dan sejarah kelahiran. SBPHR dan DBPHR dikira sebagai SBP (mmHg)/ketinggian (cm) dan DBP (mmHg)/ketinggian (cm). Nilai titik potong optimum bagi SBPHR dan DBPHR untuk mengesan prahipertensi dan hipertensi dikira menggunakan analisa keluk receiver operator characteristic curve (ROC). Min tekanan darah sistolik adalah 106.62 mmHg dan min tekanan darah diastolik adalah 67.74 mmHg. Prevalens prahipertensi dan hipertensi adalah 11% dan 8%. Ujian regresi logistik berganda mendapati etnik Cina (nisbah ods terlaras=6.719, 95% selang keyakinan (SK)=1.406-32.121), indeks jisim tubuh untuk umur berlebihan (nisbah ods terlaras=2.068, 95% SK=1.159-3.689), nisbah ukur lilit pinggang kepada ketinggian berlebihan (nisbah ods terlaras=2.766, 95% SK=1.542- 4.995) dan kurang pengambilan protein (nisbah ods terlaras=2.411, 95% SK=1.048- 5.547) merupakan faktor peramal kepada prahipertensi dan hipertensi. Nilai titik potong optimum SBPHR/DBPHR untuk mengesan prahipertensi adalah 0.72/0.46 mmHg/cm bagi remaja lelaki dan 0.75/0.48 mmHg/cm bagi perempuan. Bagi mengesan hipertensi, nilainya adalah 0.80/0.50 mmHg/cm bagi lelaki dan 0.78/0.52 mmHg/cm bagi perempuan. Ketepatan diagnosa adalah 91.9-99.8%, sensitiviti 85.7- 100% dan spesifisiti 83.8-99.3%. Prevalens prahipertensi dan hipertensi menggunakan kaedah baru BPHR adalah lebih tinggi (18.7% dan 12.2%) berbanding prevalens yang diperolehi menggunakan kaedah piawai oleh National High Blood Pressure Education Program (11% dan 8%). Walau bagaimanapun, terdapat persetujuan yang sangat baik (substantial agreement) di antara kedua-dua kaedah tersebut (nilai kappa 0.610-0.799; 95% SK=0.502-0.884). Prevalens prahipertensi dan hipertensi yang membimbangkan menunjukkan bahawa saringan rutin dan berkala dalam kalangan remaja di sekolah perlu dijalankan dan mereka yang berisiko perlu diberikan intervensi. Dapatan adalah sahih, tepat dan selari dengan kajian lain, oleh itu kaedah BPHR boleh digunakan untuk memudahkan saringan tekanan darah dalam kalangan remaja.
Pages: 354
Publisher: Fakulti Perubatan, UKM, Universiti Kebangsaan Malaysia
Appears in Collections:Faculty of Medicine / Fakulti Perubatan

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
DR. SITI NURBAYA BINTI ABDUL AZIZ-FULL.pdf
  Restricted Access
3.83 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.