Please use this identifier to cite or link to this item:
https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/389822
Title: | Pencapaian akademik pelajar dan kecekapan teknik sekolah menengah terpilih di Malaysia |
Authors: | Rozita Baba (P71312) |
Supervisor: | Zulkefly Abdul Karim, Prof. Dr. |
Keywords: | Pencapaian akademik Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations Dissertations, Academic -- Malaysia |
Issue Date: | 26-May-2022 |
Abstract: | Pencapaian akademik pelajar di pelbagai peringkat pengajian sering menjadi perhatian pihak berkepentingan seperti kerajaan, majikan dan ibubapa. Pencapaian akademik peringkat menengah menerusi peperiksaan awam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sering dijadikan kayu pengukur dalam menentukan hala tuju pelajar lepasan SPM sekaligus mencorakkan proses pembangunan modal insan negara. Walau bagaimanapun, pencapaian peperiksaan SPM ini pada setiap tahun didapati kurang memberangsangkan apabila Gred Purata Nasional (GPN), secara puratanya hanya berada pada tahap yang memuaskan sahaja sebagaimana ditunjukkan oleh julat pencapaian iaitu 4.51-6.75. Prestasi peperiksaan turut terjejas apabila masih wujud jurang pencapaian peperiksaan antara pelajar kawasan bandar dan luar bandar serta pelajar di negeri maju dan negeri kurang maju. Pencapaian akademik ini adalah tidak setimpal berbanding perbelanjaan besar yang telah dikeluarkan oleh kerajaan terutamanya bagi kecemerlangan pendidikan peringkat menengah. Justeru itu, kajian mengenai tahap kecekapan sekolah menengah amatlah wajar dijalankan bagi memastikan setiap sumber dapat digunakan dengan sebaiknya. Maka, tiga objektif kajian telah dibentuk berdasarkan permasalahan yang telah dikemukakan. Objektif pertama kajian ini adalah untuk mengenalpasti faktor penentu pencapaian peperiksaan SPM di 606 buah sekolah menengah di empat buah negeri terpilih iaitu Selangor, Melaka, Kedah dan Terengganu bagi tahun 2010-2014. Kaedah ekonometrik data panel statik telah digunakan untuk menganggar model penentu pencapaian akademik. Objektif kedua kajian, mengukur tahap kecekapan teknik sekolah menengah dengan menggunakan kaedah bukan parametrik iaitu Analisis Penyampulan Data (Data Evelopment Analysis, DEA). Manakala, bagi mencapai objektif ketiga iaitu mengenalpasti faktor yang mempengaruhi kecekapan teknik, kaedah dua peringkat telah dijalankan iaitu DEA dan kaedah data panel statik. Penemuan baharu kajian dapatlah diringkaskan seperti berikut. Pertama, pencapaian peperiksaan SPM signifikan dipengaruhi oleh nisbah guru-murid dan upah purata. Kedua, sebanyak 98.1% daripada jumlah sekolah menengah di negeri-negeri terpilih tersebut telah beroperasi secara tidak cekap. Sekolah di kawasan luar bandar dan di negeri kurang maju menunjukkan tahap kecekapan yang lebih baik berbanding sekolah di kawasan bandar dan negeri maju apabila bilangan sekolah yang cekap untuk kedua-dua kategori ini adalah tinggi. Ketiga, faktor luar kawalan sekolah seperti saiz sekolah, pendapatan perkapita dan upah purata didapati signifikan mempengaruhi kecekapan teknik sekolah menengah. Hasil kajian ini memberikan beberapa implikasi penting kepada pihak berkepentingan daripada aspek berikut. Pertama, KPM hendaklah menetapkan nisbah guru-murid pada kadar yang munasabah untuk memastikan pencapaian akademik yang lebih baik. Kedua, kerajaan perlu menambahkan perbelanjaan mengurus per murid terutamanya di kawasan bandar. Ketiga, kerajaan meningkatkan pendapatan purata isirumah dengan meningkatkan kadar upah minimum. Keempat, pihak Jabatan Pendidikan Negeri haruslah merancang dengan lebih baik agihan sumber mengikut jumlah pelajar dalam satu-satu masa. Kelima, kepentingan pendidikan menengah sebagai barang awam dan tidak bermotifkan keuntungan harus diberikan perhatian serius oleh KPM. Dengan menggunapakai dan memahami kepentingan teori kecekapan, penggunaan sumber di sekolah menengah dapat dioptimumkan untuk menghasilkan output yang maksimum. Selain itu, berpandukan teori pengeluaran pendidikan, KPM dapat mengenalpasti faktor-faktor yang signifikan mempengaruhi pencapaian akademik. Tindakan segera yang pragmatik boleh diambil terhadap faktor yang memberi kesan signifikan kepada pencapaian akademik. |
Pages: | 206 |
Publisher: | UKM, Bangi |
Appears in Collections: | Faculty of Economy and Management / Fakulti Ekonomi dan Pengurusan |
Files in This Item:
File | Description | Size | Format | |
---|---|---|---|---|
Pencapaian akademik pelajar dan kecekapan teknik sekolah menengah terpilih di Malaysia.pdf Restricted Access | Full-text | 120.18 MB | Adobe PDF | View/Open |
Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.