Please use this identifier to cite or link to this item: https://ptsldigital.ukm.my/jspui/handle/123456789/389472
Title: Ekologi dan filogeni kelip-kelip (coleoptera: lampyridae) di beberapa kawasan riparian terpilih di Malaysia
Authors: Nur Athirah Abdullah (P94665)
Supervisor: Izfa Riza Hazmi, Dr.
Keywords: Kelip-kelip
Universiti Kebangsaan Malaysia -- Dissertations
Dissertations, Academic -- Malaysia
Issue Date: 27-Jul-2021
Abstract: Kelip-kelip (Coleoptera: Lampyridae) di kawasan riparian mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dalam industri eko-pelancongan. Walau bagaimanapun, habitat kelip-kelip diancam oleh pelbagai aktiviti antropogenik seperti perbandaran, pertanian dan juga pencemaran. Oleh itu, pengurusan pemuliharaan yang strategik perlu dirancang bagi memastikan kelangsungan populasi kelip-kelip. Objektif kajian ini adalah untuk 1) mengkaji corak kehadiran bersama komuniti serangga dan labah-labah pada pokok peragaan kelip-kelip, 2) menentukan kesan kualiti air dan tanah ke atas kelimpahan kelip-kelip, 3) mengenalpasti hubungkait antara struktur pokok peragaan Sonneratia caseolaris ke atas kelimpahan kelip-kelip dan 4) menentukan hubungan filogenetik populasi kelip-kelip Pteroptyx tener dengan menggunakan jujukan sitokrom oksidase I (COI). Persampelan komuniti serangga dan labah-labah pada pokok peragaan kelip-kelip telah dijalankan di tiga kawasan riparian iaitu di Sungai Sepetang, Perak, Sungai Rembau, Negeri Sembilan dan Sungai Chukai, Terengganu selama 12 bulan. Persampelan tambahan telah dilakukan di Sungai Johor, Johor dan Sungai Klias, Sabah bagi kajian filogeni kelip-kelip P. tener. Sejumlah 41,242 individu daripada 104 famili, 46 spesies dan 230 morfospesies serangga dan labah-labah telah disampel dengan tiga famili paling melimpah iaitu Lampyridae (7080 individu; 17.16%), Anthicidae (3871 individu; 9.39%) dan Scirtidae (3691 individu; 8.94%). Ujian khi-kuasa dua menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan (χ2 = 122388.724, df = 80, p < 0.05) bagi komposisi serangga dan labah-labah di antara Sungai Sepetang, Sungai Rembau dan Sungai Chukai. Topologi rangkaian corak kehadiran bersama famili serangga dan labah-labah pada pokok peragaan kelip-kelip menunjukkan komuniti yang paling stabil di Sungai Rembau diikuti oleh Sungai Sepetang dan Sungai Chukai. Permodelan taburan spesies bersambung (JSDM), mendapati Lampyridae berasosiasi secara positif dengan pelbagai serangga dan labah-labah daripada kumpulan pemakanan yang berbeza. Kajian kesan kualiti air dan tanah pada kelimpahan kelip-kelip menunjukkan korelasi yang negatif dan signifikan antara kelimpahan kelip-kelip dan beberapa ciri fiziko kimia air dan tanah iaitu konduktiviti air (r = -1.00), konduktiviti tanah (suhu air (r = -1.00), kandungan NH3-N dalam air (r = -0.90), BOD (r = -0.97), jumlah pepejal terampai dalam air (r = -1.00) serta kandungan beberapa logam berat di dalam tanah iaitu Co (r = -1.00), Cu (r = -0.90) dan Pb (r = -1.00). Korelasi positif yang signifikan pula ditunjukkan antara kelimpahan kelip-kelip dan pH air (r = 0.97) dan pH tanah (r = 1.00). Hasil kajian struktur pokok peragaan menunjukkan kesan yang signifikan (p < 0.05) terhadap kelimpahan kelip-kelip dengan beberapa struktur S. caseolaris. Hubungan yang positif telah direkodkan antara kelimpahan kelip-kelip dengan jumlah ketinggian pokok (r2 = 0.38, p = 0.035), tinggi kanopi (r2 = 0.43, p = 0.002) dan lebar kanopi (r2 = 0.11, p = 0.016) manakala hubungan yang negatif pula ditunjukkan antara kelimpahan kelip-kelip dengan sudut dimana pokok membengkok (r2 = 0.37, p = 0.048). Pohon Neighbour Joining (NJ), Parsimoni Maksium (MP) dan Bayesian Inference (BI) mendapati populai P. tener dipecahkan kepada tiga klad berbeza yang mewakili kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia, pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Malaysia iaitu Sabah. Ketiga-tiga pohon filogeni disokong oleh nilai butstrap yang tinggi iaitu antara 79% hingga 98%. Hasil kajian ini boleh digunakan sebagai rujukan secara ekologi dan genetik dalam pembinaan pelan pemuliharaan kelip-kelip yang lebih menyeluruh dan terfokus.
Pages: 226
Publisher: UKM, Bangi
Appears in Collections:Faculty of Science and Technology / Fakulti Sains dan Teknologi

Files in This Item:
File Description SizeFormat 
Ekologi dan filogeni kelip-kelip (coleoptera: lampyridae) di beberapa kawasan riparian terpilih di Malaysia.pdf
  Restricted Access
Full-text5.29 MBAdobe PDFThumbnail
View/Open


Items in DSpace are protected by copyright, with all rights reserved, unless otherwise indicated.